05 September 2011

Mohd Sabu bangkit semula bincang sejarah negara

7 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan menganjurkan Forum Di Sebalik Tabir Kemerdekaan pada 16 September ini dengan menampilkan beberapa orang tokoh yang akan membincang mengenai isu penting berkaitan sejarah kemerdekaan Malaysia.

Pengerusinya, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, forum itu bagi menyemarakkan perbicangan sejarah bersempena sambutan ke-54 Kemerdekaan Malaysia.

Katanya, forum itu dijangkakan akan memberi fokus mengenai perjalanan Sejarah sebelum merdeka melalui sisi pandang berbeza dan juga akan menyentuh Perlembagaan Rakyat yang pernah menjadi usul penting Parti Kebangsaan Melayu Malaya.

“SMM berharap perbincangan sejarah akan terus menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia dalam membina semangat patriotism yang tulen,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau turut memberi respons terhadap media perdana hari ini yang begitu panas membincangkan isu Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang dituduh sebagai pro komunis oleh media Umno.

Katanya, walaupun kenyataan Mohamad dalam satu ceramah disifatkan banyak media pro kerajaan sebagai tidak menghormati kemerdekaan dengan mengagungkan perjuangan komunis namun mahasiswa gemar melihat isu itu melalui sisi pandang yang berbeza.

Menruutnya, bagi mahasiswa kenyataan Mohamad merupakan isu yang sangat kecil berbanding isu Sejarah Malaysia yang selama ini penuh misteri dengan fakta-fakta yang sama ada tersembunyi atau disembunyi.

SMM, ujarnya tidak ingin memberi komentar mengenai apa juga kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamad kerana bagi mahasiswa mana-mana pihak berhak mengeluarkan pandangan selagi mana disokong dengan fakta dan tidak berbaur fitnah.

“Tindakan Mohamad Sabu ini secara tidak langsung telah membangkitkan semula perbincangan mengenai sejarah Malaysia yang kurang diberi perhatian akibat kekalutan politik yang melanda sejak akhir-akhir ini,” ujarnya.

Beliau berkata, Mohamad Sabu bukan satu-satunya tokoh yang mempersoalkan mengenai keabsahan penceritaan sejarah secara formal dalam silibus pendidikan Malaysia, namum sebelum ini ramai lagi tokoh yang telah menghuraikan mengenai kekurangan fakta yang terdapat dalam sejarah kemerdekaan negara.

Sebagai contohnya, kata beliau filem pendek 10 Tahun Sebelum Merdeka karya Fahmi Reza telah mengetengahkan fakta di sebalik sejarah formal dengan menceritakan plot perjuangan tokoh tokoh yang kurang ditonjol oleh teks sejarah formal.

Begitu juga, jelasnya dengan hasil kajian seorang bekas pensyarah UKM yang menceritakan fakta sejarah mengenai komunis di luar konsep biasa yang diceritakan oleh teks sejarah formal.

“Mahasiswa beranggapan perkembangan semasa ini amat sihat bagi menghasilkan rakyat yang lebih peka sejarah sekaligus mengenali Malaysia dalam erti kata yang sebenar,” katanya.

Justeru, katanya tidak ada sebab untuk Kerajaan berasa khuatir dengan perkembangan semasa ini sekiranya kerajaan benar-benar jujur dengan sejarah yang selama ini dihidangkan kepada rakyat.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: