06 September 2011

Noramfaizul wira, jangan lupa bekas perajurit

8 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Sept: PAS hari ini mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas pengiktirafan yang diberikan kepada Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor.

Namun Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pada masa yang sama mengingatkan kerajaan agar memberikan layanan setimpal kepada waris-waris dan balu-balu bekas perajurit dan pejuang negara yang berjasa yang masih hidup atau yang telah terkorban dalam mempertahankan tanah air daripada ancaman luar.

“Tahniah kepada kerajaan kerana mengangkat jurugambar BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban dalam menjalankan tugas di Mogadishu sebagai wira negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ramai antara anggota-anggota perajurit dan pejuang negara yang cedera dan terbunuh sehingga kini masih tidak menerima anugerah yang sewajarnya, jika hendak dibandingkan dengan apa yang diterima arwah wartawan BernamaTV.

PAS, katanya mengalu-alukan segala bentuk sumbangan bagi mengenang jasa perajurit dan pejuang negara yang terkorban dalam mempertahankan negara.

“Namun ia perlu diselaraskan agar tiada pihak yang terabai atau tercicir daripada senarai,” tegas beliau.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang juga mencadangkan agar kerajaan memastikan badan kebajikan para perajurit seperti Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) dapat berkembang dengan baik kerana ia boleh membawa nikmat kepada para pejuang dan perajurit negara dari segi kebaikan dan keuntungan.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mencadangkan agar keluaraga anggota polis yang berkhidmat dengan British semasa tragedi Bukit Kepong menuntut pampasan dari kerajaan British yang menggaji mereka ketika itu.

"Beberapa pihak telah membuat tuntutan pampasan sebegini dan berjaya," kata Mohamad kepada Harakahdaily.

Tiada ulasan: