11 September 2011

PAS gesa bina segera rumah mangsa tanah runtuh

13 Syawal 1432H. [MOD] -



CAMERON HIGHLANDS, 10 Sept: PAS Pahang menggesa pihak kerajaan menyegerakan bantuan perumahan untuk keluarga Orang Asli mangsa bencana tanah runtuh di Sungai Ruil, yang masih ditempatkan di Dewan Jubli Perak di sini.

Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal berkata, bantuan tersebut amat mendesak kerana keadaan di tempat penempatan sementara sejak tragedi itu bulan lalu didapati tidak selesa.

“Bagi kami pembinaan semula rumah mangsa yang musnah dalam tragedi tanah runtuh ini amat mendesak kerana ada ahli keluarga mereka yang cedera dan memerlukan suasana kediaman yang selesa untuk pemulihan.

“Di samping itu juga ramai anak keluarga mangsa berkenaan terdiri daripada kanak-kanak yang masih bersekolah jadi sudah tentulah memerlukan suasana lebih sesuai untuk pembelajaran mereka terutama menjelang musim peperiksaan sekarang,” katanya kepada Harakahdaily ketika melawat keluarga tersebut kelmarin.

Rombongan yang membuat lawatan kebajikan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, turut disertai Yang Dipertua PAS Kawasan Cameron Highlands, Ustaz Abdul Karim Noor serta ahli-ahli jawatankuasanya sebelum itu telah beramah mesra dengan mangsa enam keluarga yg masih ditempatkan di situ.

Pada 7 Ogos lalu, tujuh penduduk Kampung Orang Asli Sungai Ruil maut selepas rumah mereka musnah akibat ditimbus banjir lumpur dan tanah runtuh.

Sejak itu pelbagai pihak dan agensi kerajaan berjanji untuk membina semula rumah-rumah mangsa yang musnah sama sekali dalam tragedi berkenaan.

Mereka merupakan antara 60 keluarga yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Perkampungan Orang Asli berkenaan.

Sementara itu, Roslan juga meminta pihak kerajaan memperjelaskan dakwaan penduduk Orang Asli yang ditemui bahawa tapak projek perumahan Taman Golden Hills yang dibina bersebelahan dengan kampung mereka pada asalnya merupakan tanah yang diwartakan sebagai rezab Org Asli.

“Jika dakwaan tersebut benar, pihak kerajaan perlu memberikan penjelasan bagaimana pihak pemaju boleh diberikan laluan untuk projek perumahan mewah tersebut.

“Selain itu PAS Pahang juga menggesa kerajaan menyediakan pelan atau skim perumahan mampu milik untuk penduduk Orang Asli Sungai Ruil menggantikan rumah-rumah kediaman mereka yang amat daif dan terdedah kepada risiko bencana dalam jangka panjang,” ujarnya.

Tiada ulasan: