09 September 2011

Pengguna tidak berhemah atau jalan raya bermasalah

11 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Sept: Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LaPAS) melahirkan rasa kesal dan bimbang ekoran peningkatan kadar kemalangan khususnya yang melibatkan kematian dalam Ops Sikap ke-24 yang berakhir pada 7 September lalu.

Pengerusinya, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, difahamkan Ops Sikap ke-24 adalah yang terburuk sejak Ops Sikap dilancarkan 11 tahun yang lalu.

Ops Sikap ke 24 mencatatkan mencatatkan 259 kemalangan maut dengan 289 kematian.

Keseluruhannya sebanyak 19,462 kemalangan dicatatkan dalam Ops Sikap Ke-24 iaitu meningkat 2,645 kes (15.7 peratus) berbanding sebelum ini.

Penunggang dan pembonceng motosikal adalah penyumbang tertinggi dengan kadar kemalangan maut dan kematian berjumlah 178 kes (61.6 peratus) daripada 289 kematian yang direkodkan iaitu meningkat 35 kes (24.5 peratus).

“LaPAS mempersoalkan keberkesanan Ops Sikap kali ini gagal membendung kemalangan khususnya yang melibatkan kemalangan maut meskipun pelbagai usaha dan kempen dibuat, namun kadar kemalangan terus meningkat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, faktor sikap pemandu dan pengguna jalan raya sendiri apabila memandu dalam keadaan cuai, letih, tertidur, mengekori kenderaan lain terlalu rapat dan leka menjadi sebab utama kemalangan terus meningkat.

Dalam hal ini, ujarnya sesuatu tindakan drastik perlu dikenalpasti dan dialksanakan agar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.

Antaranya, kata beliau LaPAS menyokong usaha penjenamaan semula Ops Sikap yang dilihat agak ketinggalan dan kurang berkesan.

Selain itu, tambah beliau antara tindakan yang berkesan adalah dengan melicinkan perjalanan trafik di jalan-jalan raya.

“Antara sebab pemandu letih adalah kerana kerana faktor kesesakan jalan raya yang membosankan dan meletihkan,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Jerai.

Menurutnya, dengan jumlah kenderaan yang banyak, dengan suasana yang panas dan tidak selesa sudah tentu pemandu menjadi hilang sabar, marah, tekanan perasaan, serta mengantuk.

Kesannya, kata beliau pemandu memilih untuk menggunakan jalan alternatif walaupun ianya jauh dan merbahaya.

Menurutnya lagi, di musim perayaan seperti Aidilfitri ini pula, R&R sepanjang lebuhraya biasanya sesak dengan pengunjung.

Katanya, ramai pemandu terpaksa meneruskan perjalanan dalam keadaan mengantuk kerana gagal untuk berhenti di R&R ekoran terlalu ramai orang.

Justeru, ujarnya LaPAS mengharapkan kerajaan dan syarikat konsesi tol memperbanyakkan lagi R&R di lebuhraya bagi keselesaan pemandu.

Selain itu, jalan di kawasan perbandaran juga perlu disediakan kawasan R&R bagi kemudahan pemandu.

Katanya, pemandu biasanya tidak ada alternatif selain bersekang mata yang keletihan kerana tidak ada tempat persinggahan untuk rehat di jalan selain lebuhraya.

Selain itu, ujarrnya faktor jalanraya seperti seperti selekoh tajam, jalan berlubang, tidak rata, tidak jelas papan tanda serta ketiadaan lampu jalan antara sebab berlakunya kemalangan jalan raya.

Beliau menambah, jalan di kawasan kampung ketika waktu malam amat gelap dan berbahaya yang mengundang bahaya terutama di waktu hujan.

“LaPAS mengharapkan antara langkah keselamatan ialah mengadakan lampu jalan bagi menerangi jalan-jalan kawasan di luar bandar serta di kawasan selekoh berbahaya,” ujarnya.

Menurutnya, banyak lagi faktor dilihat sebagai punca kemalangan jalan raya dan banyak perkara boleh diperbaiki bagi mengatasi masalah ini.

“LaPAS percaya antara cadangan yang dikemukakan ini, jika dilaksanakan dengan segera mampu membendung kemalangan di jalan raya,insya Allah.

“Takziah kepada mereka yang terkorban di dalam kemalangan dan Al-Fatihah LaPAS sedekahkan bagi mereka yang beragama Islam. Semoga Allah swt mengampuni dosa-dosa mereka dan meletakkan roh mereka dikalangan orang-orang beriman,” katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: