09 September 2011

Putrajaya Masih Kaji Sistem Biometrik Untuk PRU-13

11 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 9 SEPT : Di sebalik desas desus bahawa Kabinet bersetuju untuk menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang, portal The Malaysian Insider yang memetik sumber mereka hari ini melaporkan, Kabinet masih mempertimbangkan penggunaan sistem biometrik untuk pilihan raya umum ke-13.

Menurut portal itu, sementara peruntukan bagi sistem itu telah diluluskan secara dasarnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kabinetnya mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan satu kajian secara komprehensif dan mengelakkan masalah-masalah berkaitan dengan sistem yang digunakan di Jabatan Imigresen sekarang.

“Perdana Menteri ada bercakap dengan SPR mengenai perkara ini. Dakwat kekal OK, tetapi Kabinet mahu lebih banyak masa untuk mengkaji semula sistem biometrik,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Katanya, tiada satu tempoh ditetapkan bagi sistem biometrik dikaji meskipun wujud spekulasi bahawa pilihan raya umum akan dipanggil dalam setahun ini.

Mandat semasa kerajaan berakhir pada April 2013 dan SPR sudah pun memulakan persediaan ke arah pilihan raya umum ke-13.

Difahamkan bahawa sekurang-kurangnya tiga syarikat membida untuk membekalkan sistem biometrik kepada SPR termasuk firma yang bekerja dengan Jabatan Imigresen.

Dua minggu lalu, SPR berkata ia sedang mengkaji untuk menggunakan kedua-dua sistem itu.

SPR sepatutnya menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum 2008, tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir.

Semalam akhbar Sin Chew Daily yang memetik sumber menyebut, keputusan penggunaan dakwat kekal diputuskan dalam mesyuarat Kabinet kelmarin.

Laporan itu berkata kabinet berpandangan dakwat kekal lebih sesuai, berbanding sistem biometrik yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan telah diguna dengan jayanya oleh beberapa negara untuk menghindari pengundian berganda.

Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika ditanya mengenai hal itu menyatakan beliau tidak mengetahui tentang hal itu.

tv news/-

Tiada ulasan: