07 Oktober 2011

Bina Kompleks Haji di Kedah

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KEDAH bakal memiliki sebuah Kompleks Haji yang lengkap dengan hotel bertaraf empat bintang setinggi lapan tingkat bernilai kira-kira RM86 juta yang akan dibina di atas tanah seluas 4.4 hektar berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar bagi memenuhi keperluan jemaah haji di wilayah utara.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pembinaan kompleks berkenaan oleh Lembaga Tabung Haji (LTH) dianggap bertepatan berikutan lokasinya strategik berhampiran LTSAH mahupun Lebuhraya Utara-Selatan.

Menurutnya, kewujudan kompleks itu yang dijangka siap tiga tahun lagi bertujuan meningkatkan perkhidmatan kepada jemaah haji terutama dari Kedah, Perlis serta Utara Perak sepanjang musim haji.

Ia pusat sehenti bagi operasi musim haji kerana hotel berkenaan mempunyai 210 bilik yang boleh menampung kehadiran jemaah termasuk ahli keluarga.

“Jemaah haji dari kawasan ini tidak perlu lagi pergi ke Kompleks Haji Bayan Lepas, Pulau Pinang manakala pada luar musim haji, bilik hotel berkenaan boleh diduduki pengunjung luar termasuk ibu bapa yang mahu melawat anak masing-masing di institusi pengajian tinggi berhampiran,” katanya pada majlis pecah tanah Kompleks Haji Alor Setar yang disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, di Kedah, semalam.

metro/-

Tiada ulasan: