07 Oktober 2011

Kadar inflasi naik

9 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Kadar inflasi di Malaysia terus meningkat kepada 3.1 peratus pada tujuh bulan pertama tahun ini daripada 1.7 peratus tahun lepas, berikutan lonjakan harga komoditi global terutamanya bahan api dan komoditi makanan.

Menurut Laporan Ekonomi 2011/2012 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, tiga penyumbang utama kepada kenaikan inflasi ialah kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, pengangkutan serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan lain, yang keseluruhannya telah menyumbang kepada 2.5 mata peratusan kepada peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP).

Selain faktor bekalan, kenaikan inflasi juga disumbang sebahagiannya oleh rasionalisasi subsidi bagi beberapa barangan keperluan pengguna termasuk gula, petrol RON97 dan tarif elektrik.

Kadar inflasi di Malaysia dalam wajaran makanan IHP termasuk minuman bukan alkohol kekal antara terendah di rantau ini berbanding negara lain seperti Singapura (5 peratus), Filipina (4.8 peratus) dan Thailand (3.6 peratus).

Prihatin terhadap kesan kenaikan harga makanan yang membebankan rakyat, terutamanya golongan isi rumah miskin dan berpendapatan rendah, kerajaan melaksanakan pelbagai langkah bagi mengurangkan kesan kenaikan inflasi.

Antaranya ialah menjadikan kenaikan kos sara hidup sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), dengan tujuan utama mengenal pasti langkah bagi membantu dan meringankan bebanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Bagi menangani kesan kenaikan harga makanan, kerajaan antara lain melancarkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang bermula di Lembah Klang. KR1M menawarkan 250 barangan runcit berjenama 1Malaysia pada harga 40 peratus lebih rendah daripada harga pasaran bagi meringankan beban kumpulan mudah terjejas di kawasan bandar.

"Menu Rakyat 1Malaysia" juga diperkenalkan tahun ini dan sehingga kini 728 pengendali restoran seluruh negara telah menyertai program ini yang menawarkan hidangan set sarapan pagi pada harga RM2 dan makan tengah hari RM4.

Langkah lain termasuklah melaksanakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 bagi mengawal harga barangan dan caj perkhidmatan serta menghalang aktiviti pencatutan.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: