09 Disember 2011

Kereta dibedil pesawat Israel

13 Muharram 1433H. [MOD] -

DUA orang terbunuh apabila sebuah kereta terbakar akibat serangan udara Israel dipercayai dilakukan sebuah pesawat tanpa juruterbang di Bandar Gaza semalam.

GAZA, Palestin - Satu serangan udara Israel ke atas sebuah kereta di sebatang jalan yang sesak semalam menyebabkan sekurang-kurangnya dua pejuang Hamas terbunuh dan dua lagi cedera, kata tentera Israel dan beberapa pegawai perubatan tempatan.

Stesen radio Hamas mengenal pasti mangsa yang terkorban sebagai dua beradik yang menganggotai sayap bersenjata Hamas iaitu Essam Al-Batsh dan Sobhi Al-Batsh.

Beberapa pegawai Palestin menyatakan, serangan itu dipercayai dilakukan sebuah pesawat tanpa juruterbang.

Beratus-ratus penduduk Palestin mengerumuni kereta berkenaan yang diserang awal tengah hari semalam di sini.

Sementara itu, di ibu negara Israel, Tel Aviv, seorang jurucakap tentera rejim Zionis mengesahkan satu serangan udara telah dilancarkan.

Jurucakap berkenaan memberitahu, kedua-dua lelaki yang terbunuh telah merancang untuk menyerang penduduk awam dan askar Israel di kawasan sempadan Israel dengan Semenanjung Sinai, Mesir.

Hamas, sebuah kumpulan Islam yang menentang Israel memerintah Semenanjung Gaza sejak 2007. - Agensi

Tiada ulasan: