25 Februari 2012

Air mata menderas terkenang suami yang tidak dibicarakan...


3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - Keputusan Mahkamah.

"Semua OKT didapati bersalah kerana menyertai himpunan haram...," suara Puan Hakim meresapi seluruh ruang kamar Mahkamah. Suasana sunyi, seolah-olah semua orang terkejut. Salah seorang peguam kami mohon "stand down" supaya dapat berbincang mengenai strategi rayuan agar hukuman terhadap Orang Kena Tahan(OKT) dapat diringankan.

Saya toleh ke kanan, OKT Nashita (gambar kanan) kelihatan sedang berpelukan dengan anaknya Asiah…..Hidung kedua beranak itu merah, tanda lepas menangis… Mata OKT Aiman dan Salmah juga merah. Lantas saya lepaskan pandangan ke sekitar bilik mahkamah yang agak sesak, kelihatan ramai, terutama kaum wanita, sedang mengesat air mata…

"Kak Laila, are you ok?" tanya Nalini dengan nada yang amat perihatin.

"Yeah, I'm ok. Don't worry I'm really ok..." jawab saya sambil berlalu kearah pintu keluar ruangan Mahkamah Sivil 6 itu. Saya bersalaman dengan beberapa orang yang hadir untuk memberi sokongan moral kepada semua OKT. Sempat saya melerek kearah wajah Mat Sah, suami saya yang di kenali sebagai "bekas tahanan tujuh tahun ISA". Saya lihat matanya merah...

Saya rasa serba salah pula kerana tak mengalirkan air mata sebaik keputusan dijatuhkan tadi. Kenapa?

Saya tidak faham dengan perasaan saya sendiri. Mungkin saya sudah biasa mendengar keputusan yang lebih pahit dan teruk dari keputusan Puan Hakim tadi. Tindakan kejam Menteri Dalam Negeri yang telah menyambung penahanan Mat Sah dari dua tahun ke dua tahun berikutnya dari tahun 2002 hingga 2009 tanpa sebarang bicara, saya rasakan jauh lebih jahat, zalim dan tidak berperikemanusian dari apa yang dibuat oleh Hakim itu….

Rayuan peguam.

Lebih 10 minit berlalu, Puan Hakim menunjukkan dirinya semula. Semua yang hadir, berhenti bercakap untuk memberi sepenuh perhatian pada rayuan peguam dan seterusnya mendengar hukuman yang bakal dijatuhkan ke atas semua OKT.Seorang demi seorang peguam bangun untuk memberi latar belakang OKT yang mereka wakili.

"ISA adalah undang-undang zalim yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan tindakan semua OKT menyertai himpunan mansuh ISA demi untuk menzahirkan kebencian mereka terhadap akta itu adalah satu tindakan yang mulia. Tindakan itu adalah benar dan mereka sepatutnya dipanggil sebagai pejuang, bukannya pengganggu ketenteraman awam," lebih kurang begitulah hujah yang diberikan oleh peguam kami, Latheefa Koya.

"Dan anak guam saya, OKT ke 27, Puan Norlaila Othman, adalah isteri kepada seorang bekas tahanan ISA yang telah ditahan tanpa bicara lebih tujuh tahun. Puan Norlaila adalah 'sole bread winner' keluarganya kerana suami beliau walaupun sudah dibebaskan,masih tidak mempunyai pendapatan stabil, kesan dari penahanan yang terlalu lama di bawah ISA...," tambah Peguam Latheefa lagi.

Sebak.

Tiba-tiba saya jadi sebak mendengar ayat rayuan terakhir mengenai diriku yang disampaikan oleh Peguam Latheefa tadi. Memang benar, penahanan yang terlalu lama, menjadikan ramai bekas tahanan ISA, mengalami kecelaruan emosi dan sedikit berbeza dari diri mereka yang sebenar, berbanding ketika mereka belum ditahan ISA dulu. Mereka perlukan masa yang lama untuk pulih semula seperti manusia lain yang biasa hidup bebas dan merdeka.

Mat Sah (gambar kanan) tidak terkecuali dari kekurangan tersebut. Beliau ditahan ketika zaman PM Mahathir, kemudian masuk era PM Abdullah Ahmad Badawi dan seterusnya pemerintahan PM Najib. Hampir lapan tahun dari usianya dibazirkan tanpa sebarang pekerjaan tetap atau aktiviti terarah di Kem Kamunting. Dan sepanjang jangkamasa itu juga, kehidupan mereka sentiasa diawasi dan diberi pelbagai ancaman oleh warden atau polis cawangan khas yang menjadi kakitangan utama penguasa ISA.

Sebelum Mat Sah ditahan dibawah ISA, akta ini telah lebih 50 tahun digunakan oleh Parti yang memerintah untuk memastikan kelangsungannya di bumi Malaysia ini. ISA telah menzalimi lebih berbelas ribu rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, bangsa dan ugama. Telah terlalu banyak usaha gabungan NGO @Gerakan Mansuhkan ISA(GMI) dicurahkan untuk memberitahu pihak berwajib supaya jangan menggunakan akta ini ke atas rakyat.

Apakah lagi yang dapat dilakukan jika semua usaha itu ditolak mentah-mentah oleh Menteri yang menjaga akta ini? Apakah ada pilihan lain bagi rakyat untuk menyatakan bahawa akta Keselamatan Dalam Negeri ini lah sebenarnya yang memberi ancaman kepada keselamatan orang ramai? Justeru, salahkah kami semua turun ke jalan raya untuk menyatakan bahawa ISA ini zalim dan wajib dimansuhkan?

Ya Allah….kenapakah Puan Hakim tadi gagal melihat segala kebenaran ini?

Himpunan Mansuh dan proses mahkamah

Aku ditahan polis bukan kerana melakukan kesalahan peribadi seperti mencuri, membunuh atau mengambil rasuah. Aku ditahan kerana menyertai himpunan MANSUH ISA, yang lebih didorong oleh perasaan kasihan bila melihatkan Mat Sah, suami dan ayah pada anak tunggal kami, ditahan dari dua tahun pertama hinggalah tahun ke lapan, secara berterusan dan tanpa sebarang perbicaraan.

Walaupun hari ini Puan Hakim kata saya bersalah, namun sekurang-kurangnya saya berpuas hati kerana sudah merasai proses perbicaraan di mahkamah. Bermula dari hari pertama aku ditahan pada 1 Ogos 2009, saya dibela oleh sekumpulan peguam bila dicaj di mahkamah. Saya dijamin sebanyak RM500. Proses perbicaraan yang melibatkan 11 orang saksi telah berjalan dengan baik dari awal tahun 2010 hinggalah akhir tahun 2011. Saya dapat melihat gelagat dan perangai saksi serta mendengar hujah balas peguam dengan jelas.

Alangkah baiknya jika sekiranya ISA itu memberi hak dan ruang kepada pesalahnya untuk dijamin, mendapatkan khidmat peguam, mendapat perbicaraan, ada hakim mahkamah yang mendengar perbicaraan itu, ada saksi dipanggil dan kemudiannya ada proses rayuan oleh peguam supaya hakim menjatuhkan hukuman yang paling minimum...

Sekiranya ISA mempunyai semua proses dan prosedur perbicaraan di mahkamah, saya amat-amat pasti, tiada siapa yang akan sewenang-wenangnya memenjarakan Mat Sah dalam jangka waktu yang teralu lama sepertimana yang telah dilalui oleh beliau sebelum ini.

Air mataku terus mengalir deras...

Denda dan Penjara.

Sebaik saja semua peguam selesai merayu bagi pihak anak guam masing-masing, Puan Hakim pula bersedia untuk menyatakan hukuman "kesalahan berhimpun" Itu, "OKT 27, kamu dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2000. Untuk akta pendaftaran kerana tidak membawa Kad Pengenalan, kamu diberi amaran keras supaya tidak mengulanginya lagi..."

Saya segera duduk. Tidak tahu nak kata apa. Perlukah marah kerana hukuman denda serta penjara atau ucap terima kasih kerana sekadar diberi amaran di atas kegagalan membawa Kad Pengenalan?

Ramai masih ditahan di Kem Kamunting.

Secara peribadi, saya tidak punya wang sebanyak itu untuk digunakan bagi membayar denda RM2000. Saya lebih rela didenda seminggu penjara. Wang sebanyak itu, boleh saya sedekahkan kepada 10 keluarga ISA di Tawau Sabah yang suami mereka sedang ditahan di Kem Kamunting sekarang. Mereka punya anak-anak kecil yang ramai, sedang kuat makan dan semuanya bersekolah rendah. Ada beberapa orang isteri tahanan sedang sarat mengandung dan perlukan wang untuk membiayai bayaran bersalin dan rawatan hospital kelak. Saya terbayang wajah-wajah sugul wanita dan aanak-anak yang sedang menanti kepulangan suami, yang menjadi ketua rumah tangga dan pencari rezki untuk mereka semua...

Masih ramai rakyat yang sedang ditahan tanpa bicara di Kem Kamunting. Dan pada hari ini Rabu 22 Februari 2012, kami- rakyat jelata yang ingin membela nasib mereka yang sedang di penjara itu... kini turut sama dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah penguasa ISA...

Ya Allah, kejamnya mereka yang sedang berkuasa ini….Berilah kami rakyat jelata semua, ketabahan, kekuatan dan kesabaran untuk terus berusaha menewaskan mereka yang kejam dan zalim itu. - (MI)

Tiada ulasan: