25 Februari 2012

Pekida sokong perjuangan Hasan Ali dan Jati

3 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - 6:49PM Feb 25, 2012
Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) akan menyokong perjuangan yang dibawa Jati, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan bekas anggota PAS Datuk Dr Hasan Ali, baru-baru ini.

Presidennya, Jamaluddin Yusof berkata ini kerana konsep yang diperjuangkan Jati adalah selari dengan Pekida iaitu menjaga dan mempertahankan agenda umat Islam serta Melayu di negara ini.

"Kita berharap Hasan (Ali) akan meneruskan perjuangan beliau dan Jati, dan kita dengan perjuangan kita bersama Pekida.

"Di samping itu, kita juga bersedia mengadakan perbincangan bersama NGO lain jika ada aktiviti yang selaras dengan prinsip perjuangan kita, iaitu meningkatkan perpaduan umat Islam di negara ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa tertinggi Pekida Pahang hari ini.

Selasa lepas, Hasan, bekas exco Selangor itu, menubuhkan Jati yang bertujuan mempertahankan agenda Islam, Melayu dan kedaulatan raja bersesuaian keadaan semasa yang menyaksikan orang Melayu semakin berpecah belah.

Dalam pada itu, Jamaluddin berkata Pekida tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Permuafakatan Majlis Ayahanda 1Malaysia (Permas) walaupun ada di kalangan anggota pertubuhan tersebut adalah bekas anggota Pekida.

"Ada di kalangan ayahanda-ayahanda yang membuat keputusan untuk menyertai Permas, jadi secara langsung, mereka bukan lagi anggota Pekida, ini bermakna apa sahaja kegiatan mereka, tidak lagi mempunyai kaitan dengan Pekida," katanya sambil menasihati Permas agar tidak berprasangka buruk terhadap pihak lain demi menjaga perpaduan di kalangan NGO serta rakyat Malaysia.

Beliau juga menyeru Pekida di setiap daerah dan negeri, yang belum menjalani proses 'pemutihan' di kalangan mereka, supaya segera melaksanakannya bagi mengubah sikap anggota pertubuhan itu.

Program pemutihan dijalankan pertubuhan itu sejak 2008 bagi memperbaiki sikap negatif di kalangan anggota pertubuhan tersebut, yang didakwa terlibat dalam aktiviti 'samseng', sekaligus menjejaskan nama baik Pekida - Bernama

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mana boleh selari? Hasan ali masa jadi exco dok serang rumah rumah urut manakala budak budak pekida dok jaga line depan rumah urut. Macam mana nak kata selari? Hasan ali nak jaga agama. Budak budak pekida kebanyakannya solat pun tidak.