23 Februari 2012

Ancaman gajah liar berakhir

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GUA MUSANG - Kebimbangan penduduk Kampung Serian Batu 11, dekat sini, dengan ancaman sembilan gajah liar hingga memusnahkan tanaman berakhir apabila seekor daripada sekumpulan gajah itu ditangkap Khamis lalu.

Gajah jantan berumur antara 35 hingga 40 tahun itu ditangkap anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan bersama Unit Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang yang memburunya bermula 14 Februari lalu.

Ini ekoran daripada aduan penduduk kampung terbabit mengenai ancaman gajah liar itu hingga berpuluh hektar kebun pisang dimusnahkan sekumpulan gajah terbabit sejak awal bulan ini.

Bagaimanapun, lapan gajah liar lagi berjaya dihalau jabatan itu memasuki kawasan hutan berjauhan dengan kampung tersebut mengelakkan ancaman seumpama itu berulang lagi.

Pemindahan gajah berkenaan dilakukan petang kelmarin dengan menggunakan dua gajah denak yang dibawa khusus dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah untuk dilepaskan semula di kawasan Taman Negara.

Penangkapan gajah liar itu adalah yang kedua di kampung berkenaan dan kali pertama dibuat Oktober tahun lalu selepas sekumpulan gajah sama menyerang tanaman penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Serian, Mat Ropi Ismail, berkata, kampung terbabit bersama kampung lain berdekatan kerap menjadi sasaran sekumpulan gajah liar berkeliaran.

Beliau berkata, keadaan yang paling membimbangkan lagi selepas kejadian seorang pekebun getah dihumban gajah liar terbabit setahun lalu berikutan penduduk kerap terserempak dengan gajah itu dalam kebun getah mereka.

Malah, kata beliau, gajah itu juga hampir kerap memusnahkan kebun pisang yang diusahakan penduduk hingga menanggung kerugian teruk, selain memusnahkan pokok getah.

“Walaupun hanya seekor daripada sekumpulan sembilan gajah liar yang kerap berkeliaran itu ditangkap, sekurang-kurang keresahan penduduk mengenai ancaman gajah liar itu makin reda. Kita akan melaporkan segera kepada pihak terbabit jika sekumpulan tujuh ekor lagi gajah liar yang masih berkeliaran di situ mengganas termasuk memusnahkan tanaman penduduk,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: