23 Februari 2012

Nyaris maut di tangan perompak

1 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PENDANG – “Saya ditendang dan dipukul di bahagian tangan kanan kerana perompak itu bertanya kepada saya di mana barang berharga disimpan tetapi saya memaklumkan tiada barang berharga di rumah ini menyebabkan perompak itu marah dan bertindak sedemikian.”

Itu kata Md Isa Taib, 75, mangsa rompakan bersenjatakan parang, pedang dan pisau di rumah mereka di Kampung Sungai Rotan, di sini, kira-kira jam 4 pagi, semalam.

Md Isa dan isterinya, Che Puan Amin, 61, dan anak perempuan berumur 22 tahun hampir maut setelah dipukul, tangan dan kaki diikat manakala muka ditutupi menggunakan selimut tebal sehingga pasangan itu hampir mengalami sesak nafas.

Kejadian itu menyebabkan mereka kehilangan wang tunai RM3,000 bersama sebuah komputer riba milik anak perempuan mereka dan lima buah telefon bimbit, nilai kerugian kira-kira RM6,000.

Md Isa berkata, dia terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi seseorang menolak pintu bilik tidurnya yang tidak berkunci dan mendapati tiga lelaki berdiri di hadapannya sambil memegang parang, pisau dan pedang.

“Saya terkejut setelah melihat senjata yang dipegang tiga lelaki itu yang mana dua perompak terbabit memakai topeng. Tangan saya terus diikat menggunakan wayar kipas manakala kaki diikat menggunakan tali.

“Tiga perompak itu masuk melalui tingkap belakang rumah yang dipotong besinya dan cermin dicabut manakala seluruh bilik tidur di rumah itu turut diselongkar,” katanya
Pecah bilik guna tong gas

Isterinya, Che Puan berkata, dia terjaga daripada tidur dan mendapati suaminya sedang bercakap dengan tiga lelaki dalam bilik. Perompak kemudian bertindak mengikat tangan dan kakinya menggunakan wayar telefon serta kepala dan muka turut ditutup menggunakan selimut.

“Perompak itu bertanya kepada saya dan suami siapa lagi tinggal di rumah ini dan kami memaklumkan bahawa anak perempuan saya sahaja tinggal bersama dan sedang tidur di dalam bilik.

“Salah seorang perompak pergi ke bilik anak saya, mereka memecah masuk bilik yang berkunci itu menggunakan tong gas. Tiba-tiba saya terdengar suara anak saya menjerit dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana kami tidak dapat bergerak kerana dijaga seorang perompak terbabit,” katanya.

Che Puan berkata, perompak itu menarik keluar anaknya itu ke bilik mereka dan mengikat tangan serta kaki anaknya itu di samping menutup mulut dengan kain.

Menurutnya, dalam kejadian yang berlangsung kira-kira sejam itu, anak perempuannya mengalami kecederaan pada bahagian mulut akibat ditampar perompak kerana enggan memberi telefon bimbit.

Manakala dia dan suami mengalami kecederaan masing-masing pada bahagian tangan kanan dan belakang badan.


Pasang kipas sebelum beredar

Che Puan berkata, kejadian itu merupakan kali ketiga berlaku terhadap keluarga mereka namun, kejadian lalu perompak hanya memperoleh satu telefon bimbit sahaja.

Perompak itu juga sempat minum jus jambu dan buah-buahan yang berada di dapur setelah Che Puan menyedari botol jus berada di ruang tamu manakala buah-buahan hanya tinggal sebiji.

“Perompak juga ada bertanya kepada kami sama ada ingin makan buah atau tidak,” katanya.

Menurutnya, tiga perompak itu juga sempat memasang kipas sebelum beredar dari rumah terbabit.

“Perompak mengambil kipas dari bilik lain kerana wayar kipas yang ada dalam bilik itu dipotong oleh mereka dan ketika memasang kipas itu, salah seorang daripada perompak bertanya sama ada tahap kelajuan kipas yang dipasang laju atau tidak.

“Mereka tidak membuka ikatan tali yang diikat kami malah memasang kipas sebelum meninggalkan rumah dan kami bertiga berjaya melepaskan diri kerana ikatan yang diikat pada tangan anak tidak kukuh,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: