12 September 2011

China ambil kesempatan daripada tragedi 11 September

14 Syawal 1432H. [MOD] -



BEIJING 11 Sept. - China terus menggunakan kempen global memerangi keganasan sejak serangan 11 September, 2001 ke atas Amerika Syarikat (AS) sebagai alasan untuk menindas masyarakat Uighur yang menyokong prokemerdekaan.

Presiden Kongres Uighur Sedunia, Rebiya Kadeer hari ini berkata, pihak berkuasa China menjadikan tragedi 11 September sebagai alasan untuk mengambil tindakan kekerasan ke atas penentangan politik, sosial dan budaya yang dilakukan secara aman oleh etnik Uighur.

Katanya, protes yang diadakan secara aman oleh etnik Uighur di wilayah Xinjiang, barat China sering kali dicap sebagai 'keganasan' dan polis menahan beratus-ratus penduduk Uighur dalam tempoh sedekad lalu atas dakwaan kabur 'mengancam keselamatan negara'.

Kerajaan China 'menganggap pendiriannya disokong' oleh tindakan Amerika Syarikat (AS) menahan 22 lelaki Uighur di Teluk Guantanamo selepas tentera bersekutu pimpinan AS menangkap mereka di Afghanistan, kata Kadeer.

Bagaimanapun semua tahanan Uighur itu dibebaskan tanpa dakwaan dan kebanyakan mereka ditempatkan semula di negara lain, meskipun China mendesak negara terlibat supaya jangan menerima mereka.

Kongres Uighur Sedunia juga mengkritik Kemboja, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Laos, Malaysia, Myanmar, Nepal, Pakistan, Thailand dan Uzbekistan kerana menghantar balik sekurang-kurangnya 180 orang Uighur ke China sejak 2001 'tanpa mempedulikan hak-hak mereka, termasuk hak untuk memohon suaka politik'.

Pertubuhan hak asasi manusia AS, Human Rights Watch (HRW) menyuarakan kebimbangan serupa selepas Malaysia mengusir 11 orang Uighur ke China pada bulan lepas.

Kumpulan hak asasi manusia melaporkan banyak kes pencabulan oleh pihak berkuasa China di Xinjiang sejak sedekad lalu termasuk menyeksa tahanan, orang hilang dan penahanan etnik Uighur secara sewenang-wenangnya.

Kerajaan China menuduh Gerakan Islam Turkestan Timur yang berpangkalan di Pakistan mendalangi serangan etnik Uighur yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh di Xinjiang pada akhir Julai lalu. - dpa

Tiada ulasan: