12 September 2011

Rakyat yakin Negara Berkebajikan PAS

14 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Sept: PAS membuat ketetapan untuk menjelaskan konsep Asas Negara Berkebajikan kepada kepimpinan parti sehingga ke akar umbi sebelum pilihan raya umum ke-13.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketetapan itu merupakan resolusi yang dicapai daripada Konvensyen Negara Berkebajikan Sabtu lalu.

Menurutnya, sesi penerangan akan bermula dengan sambutan besar-besaran penubuhan PAS di Pulau Pinang pada 1 Oktober depan.

"Dalam masa terdekat PAS kita adakan sambutan 60 tahun PAS di Pulau Pinang kemudian semua negeri akan adakan sambutan ini yang merupakan salah satu program wajib dalam menerangkan konsep Begara Berkebajikan," kata beliau ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka parti itu di Taman melewar, dekat sini, semalam.

Bagi memberikan penerangan mengenai perkara itu juga, PAS katanya akan mengadakan himpunan pemberita dan blogger agar mereka dapat menyebarkan konsep Negara Berkebajikan kepada umum melalui media massa.

"PAS menjangkakan dalam masa dua, tiga bulan ini kita akan selesai membina keyakinan masyarakat tentang Negara Berkebajikan yang ditawarkan PAS," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tambahnya, manifesto Negara Berkebajikan yang ditawarkan PAS merupakan tawaran yang dapat diterima rakyat yang memerlukan sistem pemerintahan yang telus dan diyakini.

"Tawaran Negara Berkebajikan yang kita tawarkan ini merupakan tawaran yang sangat dinanti-nantikan rakyta. Rakyat perlukan satu sistem pemerintahan dan dasar yang jujur telus dan diyakini.

Konvensyen anjuran Lajnah Penerangan PAS yang diadakan di Dewan Datuk Fadhil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) itu melibatkan seluruh jentera penerangan dari setiap negeri.

Konvensyen itu rentetan ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada muktamar PAS Jun lalu, "Menuju Negara Berkebajikan".

Ustaz Hadi sendiri membentangkan Konsep Asas Negara Berkebajikan dalam ucaptama beliau dan diulas oleh Ketua Penerangan PKR, Dr. Mohd Noor Manuty, Naib Pengerusi DAP Pusat, Dr. Tan Seng Giaw dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid.

Manakala Dokumen Negara Berkebajikan yang menjelaskan tawaran-tawaran PAS kepada rakyat dibentangkan oleh Naib Presiden, Salahuddin Ayub.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: