12 September 2011

Caj prabayar: BN tidak peka nasib golongan bawahan

14 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 12 Sept: Tindakan syarikat telekomunikasi (telco) mengenakan caj perkhidmatan enam peratus bagi pembelian tambah nilai perkhidmatan prabayar dan pek permulaan kad SIM merupakan gambaran awal kerajaan akan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) terhadap rakyat.

Keyakinan itu ditegaskan oleh Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) yang membantah caj tersebut dikenakan kerana ia tidak munasabah dan membebankan rakyat.

Menurut beliau, tindakan itu merupakan gambaran awal GST akan dilaksanakan sekiranya kerajaan BN menang dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Sedangkan tambah beliau, telefon bimbit bukan menunjukkan kemewahan individu tetapi ia merupakan keperluan penting.

"Tindakan mengenakan caj enam peratus itu menunjukkan cara kerajaan hendak mencari duit, saya yakin bahawa kerajaan BN tidak mempunyai duit setelah subsidi minyak ditarik, maka rakyat juga yang dibebankan dengan caj prabayar," tegasnya.

Beliau mempersoalkan di manakah kewajarannya caj enam peratus untuk setiap pembelian kad tambah nilai sedangkan majoriti yang menggunakan prabayar golongan sederhana antaranya pelajar dan suri rumah tangga.

Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja memandang serius isu caj prabayar dan ternyata kerajaan tidak peka dengan nasib rakyat golongan sederhana dan bawahan yang majoriti menggunakan prabayar.

Dalam masa yang sama beliau mempertikai tindakan kerajaan BN yang memberikan dana khas kepada ahli Parlimen BN sebanyak RM2.5 juta.

"Jika dilihat tentang dana khas kepada Ahli Parlimen BN, tidak mustahil caj yang dikenakan terhadap rakyat merupakan tindakan kerajaan BN untuk mengutip duit bagi menghadapi pilihan raya," tegasnya.

Sehubungan itu beliau yang juga AJK PAS Pusat membantah sekeras-kerasnya tindakan telco yang mengenakan caj enam peratus terhadap rakyat.

Tiada ulasan: