12 September 2011

Palestin tetap tidak berganjak

14 Syawal 1432H. [MOD] -



AMMAN 11 Sept. - Presiden Mahmoud Abbas berkata, Palestin akan meneruskan permohonan untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai sebuah negara merdeka di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekalipun menghadapi 'ancaman' Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan bantuan kewangan.

"Kami akan pergi ke PBB untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa bagi negara Palestin, walaupun menghadapi banyak halangan dan bahaya, termasuk ancaman dari AS untuk menghentikan bantuan tahunan berjumlah AS$470 juta (RM1.41 bilion)," kata Abbas dalam wawancara yang disiarkan oleh akhbar kerajaan Jordan, Al-Rai, hari ini.

"Jika Washington menggunakan kuasa veto ke atas kami, ini tidak bermakna kami akan memboikotnya, kerana kami pernah berbalah dengan AS pada masa lalu.

"Namun, kami akan mengambil keputusan yang sesuai sejajar dengan perkembangan yang berlaku," katanya kepada akhbar berbahasa Arab itu.

Abbas dijadual menghadiri sidang kemuncak para pemimpin dunia pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) mulai 20 September ini, tetapi Washington berikrar akan menggunakan kuasa vetonya bagi menghalang Palestin membawa permohonan ke Majlis Keselamatan PBB bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai sebuah negara Palestin, kerana mahukan negara itu ditubuhkan menerusi rundingan dengan Israel.

Namun, jika permohonan itu disekat di Majlis Keselamatan PBB, Palestin merancang untuk membawa kes itu kepada UNGA, di mana mereka dijangka mendapat undi cukup banyak untuk menaikkan status perwakilan di PBB daripada badan pemerhati kepada negara bukan anggota.

Mengenai usaha perdamaian dengan pergerakan Hamas, Abbas berkata, rundingan untuk membentuk sebuah kerajaan akan disambung semula selepas bulan depan, meskipun Israel mengancam untuk membekukan dana kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).

"Kerajaan akan datang bukanlah kerajaan perpaduan, tetapi sebuah kerajaan teknokrat yang akan mengendalikan pilihan raya umum," kata Abbas, sambil menambah kata bahawa beliau tidak akan bertanding semula untuk jawatan Presiden jika pilihan raya diadakan pada Mei ini. - AFP

Tiada ulasan: