11 Februari 2012

Lajnah Pendidikan PAS tubuh Pendidik 12 Feb

18 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Lajnah Pendidikan PAS Pusat bakal melakar sejarah baru dalam dunia pendidikan tanah air kerana akan menubuhkan NGO bagi warga pendidik iaitu Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) pada 12 Februari ini.

Program yang bermula jam 2.00 hingga 5.30 petang itu akan diadakan di Dewan Putra, Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuan Selangor, Kampung Delek, Selat Klang, Selangor.

Pengarah program, Normala Sudirman (gambar)berkata, program anjuran Lajnah Pendidikan PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat melibatkan peserta yang terdiri daripada Ketua DMPP dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat, Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Negeri / Wilayah Persekutuan atau wakil dengan minima 5 orang.

Katanya, ia juga mensasarkan peserta daripada guru-guru di bawah institusi pendidikan yang dimiliki oleh ahli PAS, NGO seperti JIM, Abim dan lain-lain, sekolah agama rakyat dan swasta, Pusat Tahfiz Al- Quran, Pasti dan Kafa, pesara guru dan professional pendidik, aktivis pendidikan ahli dan penyokong PAS.

Beliau berkata, antara objektif Pendidik ialah sebagai satu wadah atau platform untuk menggerakkan kesedaran dan kebangkitan warga pendidik di seluruh Malaysia berkaitan isu-isu pendidikan dan perguruan di negara ini.

Tambahnya, ia juga untuk menyatukan semua golongan pendidik di bawah satu NGO agar semua tuntutan dan desakan atas apa jua isu pendidikan dan perguruan ’didengari’ oleh semua pihak yang berautoriti dan berkepentingan.

“NGO Pendidik juga sebagai satu saluran suara untuk memperjuangkan hak dan kebajikan guru yang tertindas dan dizalimi di samping menghimpunkan warga pendidik untuk menjalin ukhuwwah, hubungan komunikasi, kesefahaman dan kerjasama yang baik antara golongan pendidik di seluruh Malaysia,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat memberitahu, majlis pelancaran itu akan diserikan dengan 100 orang pemuda daripada Jabatan Amal Malaysia yang menyertai konvoi bermotor untuk mengiringi ketibaan Tuan Guru Presiden PAS bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran NGO Pendidik

Menurutnya, antara tetamu yang bakal hadir dan menyampaikan ceramah untuk berkongsi pengalaman tentang dunia pendidikan tanah air ialah Datuk Adnan Ibrahim, mantan Pengarah Pelajaran Negeri Perak yang kini telah menyertai PAS.

Tambahnya, tetamu lain yang akan hadir untuk menyampaikan ucapan ialah Dr Halimah Ali, Exco Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor dan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Ustaz Datuk Abu Bakar Chik.

"Semoga dengan pelancaran NGO Pendidik ini dapat membangkitkan kesedaran dan momentum perjuangan para pendidik di seluruh tanah air agar berani membuat perubahan dalam memperjuangkan hak dan kebajikan para guru selain daripada prihatin terhadap nasib para pelajar demi kelangsungan generasi pewaris kepimpinan masa hadapan," ujarnya


Harakahdaily/.-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Takbir!Saluran yang amat tepat teutamanya untuk warga pendidik yang acapkali tertindas. Semoga dapat memberikan input tentang hak-hak guru supaya mereka lebih peka dan memberi respon terhadap apa jua permasalahan yang berlaku di sekeliling mereka tanpa rasa ragu dan takut.