04 Februari 2012

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Pembawa Rahmat Untuk Semua

11 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
PAS Miri
 
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia.
 
Sesungguhnya Nabi Muhammad merupakan satu anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar.
 
Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai khalifah, yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajarkan tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT.
 
Nabi Muhammad dilahirkan di Makkah, Arab Saudi dan kembali ke rahmatullah di Madinah.
Baginda lahir dari Keturunan Quraisy (Bahasa Arab قريش). Nabi Muhammad telah dilahirkan di Makkah, pada hari Isnin, 12 Rabiulawal (20 April 571M). Ibu baginda, iaitu Aminah binti Wahab, adalah anak perempuan kepada Wahab bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah. Ayahnya, Abdullah, ialah anak kepada Abdul Muthalib.

Tema Maulidur Rasul pada tahun ini “Persefahaman Asas Perpaduan Umah” sungguh cantik dan indah, sesuai sekali untuk menyatukan semua Umah dalam negara ini. Tetapi malangnya ada sesetengah pihak yang masih takut dengan bayang-bayang sendiri, sehingga sanggup menyingkir mereka yang  tidak sama fahaman politik dengan mereka dari sama-sama meraikan sambutan tersebut.

Apalah erti “Persefahaman Asas Perpaduan Umah” kalau mereka sendiri mempunyai perasaan prejudis terhadap pihak yang ingin bersama-sama meraikan sambutan tersebut?

Mereka ini hanya pandai menyeru orang ramai supaya bersatu demi perpaduan Umah tetapi hakikatnya mereka sendirilah yang memecahbelahkan Umah disebabkan mereka mempunyai sikap prejudis terhadap pihak yang mempunyai kefahaman politik yang berbeda dengan mereka.
 
Rasullullah diutus ke dunia ini untuk menyatukan umat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik seperti yang tersebut dalam Surah Al-Anbiya, ayat 107.
 
Surah Al-Anbiya, ayat 107 bermaksud:
"Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."
 
Maka kita menyeru kepada semua tidak kira bangsa, agama dan fahaman politik supaya sama-sama kita membangunkan negara ini dengan satu tujuan iaitu bersatu menuju ke arah Negara berkebajikan dan berlaku adil untuk semua.

Inilah ajaran yang Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang patut kita laksanakan kerana ianya diutuskan ke dunia untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1433/2012 pada 5hb Feb 2012 ini dengan mengamalkan ajaran Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang sebenarnya bukan hanya sekadar adat.
 
Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak
 

Tiada ulasan: