27 Februari 2012

Najib mengaku silap hanya taktik tawan Selangor

5 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membuat apa sahaja, asalkan menang pilihan raya.

“Terbaru beliau mengaku Umno melakukan kesilapan sewaktu memerintah Selangor selama 51 tahun sebagai usaha untuk menarik simpati rakyat supaya memilih BN untuk memerintah Selangor,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Rakyat Selangor pula, katanya mengatakan nasi sudah menjadi bubur.

“Nampaknya apa sahaja rakyat minta kepada Datuk Seri Najib beliau akan beri, termasuklah bulan atau matahari kalau beliau boleh beri,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, ujarnya tidak ada alasan untuk rakyat Selangor memilih BN memerintah semula negeri itu.

Beliau berkata, rekod buruk dan pengkhianatan Umno BN terhadap rakyat Selangor masih tidak dapat diubati.

Katanya, selama setengah abad mereka memerintah sebelum ini, bukan satu masa yang singkat dan berapa banyak sistem pengurusan yang rosak sebelum Pakatan Rakyat memerintah Selangor.

“Bukan senang kerajaan PR hendak membersih karat tebal yang melekat di semua sudut,” ujarnya lagi.

Namun, jelasnya dengan usaha gigih pemimpin PR telah berjaya menunjukkan prestasi terbaik sama ada dari segi pentadbiran dan mengagihkan kekayaan kepada rakyat yang tidak pernah dilakukan oleh kerajaan BN sebelumnya.

Baginya, lebih baik Najib mengambil cermin untuk menyuluh muka dan kemudian melihat data perkembangan ekonomi di bawah seliaan BN yang jauh ketinggalan dalam semua segi.

“Jangan beliau bercakap tanpa berbekalkan data seperti beliau mengatakan Sabah lebih maju daripada Kelantan.

“Saya sebagai rakyat Malaysia malu jikalau Perdana Menteri bercakap seperti ketua cawangan Umno sahaja,” katanya.

Hatta, kata beliau kawasan Parlimen Pekan yang diwakili Najib jauh ketinggalan dari aspek pembangunan.

“Majukan Pekan dahulu sebelum hendak merampas Selangor,” katanya.

Sebelum ini, kata Idris, masalah bekalan air di Universiti Malaysia Pahang kampus Pekan tidak dapat diatasi oleh Najib.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: