17 Februari 2012

Polis Berkas 11 Anggota Geng Curi Motosikal

24 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BALIK PULAU: Polis menumpaskan kumpulan curi motosikal yang bergerak aktif di Daerah Barat Daya dengan memberkas 10 anggota golongan remaja itu Isnin lepas. Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Lai Fah Hin berkata kesemua mereka yang berusia antara 15 dan 19 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar.

Bercakap pada pemberita di sini Khamis, beliau berkata, polis pada mulanya menahan seorang lelaki yang dipercayai ketua kumpulan itu di sebuah bengkel motosikal miliknya sebelum menahan sembilan lagi anggota kumpulannya.

Beliau berkata, dalam operasi yang dikenali sebagai Ops Lejang itu, polis turut merampas tujuh motosikal pelbagai jenis, satu enjin, 10 rangka motosikal dan lebih 12 set pelbagai komponen motosikal.

Lai berkata, kumpulan itu dipercayai menjalankan kegiatan mencuri motosikal di kawasan daerah Barat Daya sejak tiga bulan lepas dan menjual alat ganti di bengkel itu.

Beliau berkata, dengan tangkapan anggota kumpulan terbabit polis yakin dapat menyelesaikan 17 kes curi motosikal yang dilaporkan di sekitar daerah Barat Daya. - BERNAMA

Tiada ulasan: