17 Februari 2012

Yahudi sasaran bom Iran

24 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Penyerang Bangkok dipercayai buru diplomat Israel

BANGKOK: Warga Iran yang ditahan selepas secara tidak sengaja menghidupkan bahan letupan di rumah sewa di ibu negara Thailand, merancang menyerang diplomat Israel.
“Saya boleh katakan sasaran utama ialah kakitangan diplomatik Israel,” kata Ketua Polis Thailand, Jeneral Prewpan Dhamapong, kepada stesen televisyen Thailand lewat kelmarin.

Bom buatan sendiri yang ditemui di tempat kejadian Selasa lalu, padan dengan alat yang diletak pada kereta diplomatik Israel di India dan Georgia sehari sebelum itu. - Prewpan Dhamapong, Ketua Polis Thailand

Beliau turut mengesahkan bom buatan sendiri yang ditemui di tempat kejadian Selasa lalu, padan dengan alat yang diletak pada kereta diplomatik Israel di India dan Georgia sehari sebelum itu.

Thailand juga sedang memastikan sama ada warga Iran terbabit menjadi sebahagian kumpulan pengganas yang lebih besar.

Dua daripada mereka ditahan di Bangkok, Selasa lalu, selepas melarikan diri dari rumah yang musnah itu, manakala lelaki ketiga ditahan semalam di Malaysia selepas menaiki pesawat tengah malam dari Bangkok ke Kuala Lumpur.

Kenyataan itu adalah pengesahan pertama Thailand letupan minggu ini sebahagian rancangan keganasan tetapi tidak terhadap kepentingan negara itu.
Ia meningkatkan kebimbangan Thailand sebagai destinasi pelancongan yang dianggap selamat daripada keganasan global, turut sama terdedah.

Amaran peringkat tertinggi dikeluarkan bulan lalu, dengan penangkapan lelaki keturunan Lubnan-Sweden dikaitkan dengan pergerakan Hizbullah yang membawa polis ke gudang berhampiran Bangkok dipenuhi 4,000 kilogram baja dan bahan lain yang boleh digunakan untuk membuat bom.

Israel dan Amerika pada ketika itu memberi amaran kepada rakyat mereka supaya berhati-hati berada di Bangkok.

Kedutaan Amerika berkata, pengganas asing mencari peluang melancarkan kawasan pelancongan di Bangkok dan media Thailand melaporkan serangan menyasarkan kepentingan Israel, termasuk kedutaan wilayah Yahudi itu.

Pihak berkuasa Thailand menegaskan negara itu dijadikan landasan melancarkan serangan, bukan sasaran.

Israel menuduh Iran melancarkan kempen keganasan dan mengancam mengambil tindakan ketenteraan atas kemudahan nuklear negara itu manakala Tehran menafikan sebarang tanggungjawab di atas tiga serangan berkenaan.

Isnin lalu di New Delhi, satu letupan memusnahkan kenderaan diplomatik Israel, mencederakan pemandu dan isteri diplomat. Pada hari sama di Georgia, pihak berkuasa berkata penyerang meletakkan bahan letupan pada kereta pemandu Kedutaan Israel tetapi ia berjaya ditemui dan dimatikan sebelum meletup. – AP

Tiada ulasan: