06 Februari 2012

Presiden Mesir: Ikhwan tidak calon pemimpinnya

13 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Feb: Ikwan Muslimin Mesir tidak sekali-kali akan mencalonkan pemimpinnya untuk menjadi presiden baru di negara itu pada pemilihan presiden Jun ini.

Sebaliknya, pertubuhan tersebut tidak akan menyokong jika ada di antara pemimpin dan ahli-ahlinya dicalonkan bagi memegang jawatan presiden.

Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Gomaa Ameen menjelaskan, mengikut peraturan di negara itu, presiden yang akan dipilih nanti bukanlah dari parti yang menang dalam pilihanraya Parlimen.

Namun, menurutnya, sekiranya terdapat juga pencalonan dari kalangan pemimpin dan ahli-ahli Ikhwan untuk jawatan presiden nanti, tindakan itu tidak pula dihalang oleh Ikhwan.

Katanya, sungguhpun begitu, pencalonan itu bukanlah atas nama Ikhwan, malah tiada sebarang kaitan dengan pertubuhan tersebut.

"Bagi Ikhwan Muslimin, itu semua bergantung kepada ketetapan yang dibuat oleh Majlis Syura', manakala ketetapan yang telah dibuat pula tidak akan mencalonkan pemimpin atau ahli Ikhwan untuk menjadi presiden," katanya pada temubual eksklusif Harakahdaily dan Harakah cetak dengan beliau, di sini, malam kelmarin.

Sepanjang Mesir berada di bawah pemerintahan kuku besi regim Hosni Mubarak, Ikhwan Muslimin dihalang dari terlibat dengan politik.

Bagaimanapun, setelah regim Hosni dijatuhkan oleh rakyat menerusi revolusi rakyat di Dataran Taharin pada 25 Januari tahun lalu dan pilihanraya Parlimen pertama diadakan, parti-parti beraliran Islam telah berjaya mencapai kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen negara itu.

Keputusan akhir pilihanraya itu yang diumumkan pada 21 Januari lalu menyaksikan Ikhwan Muslimin menerusi partinya, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi.

Dengan perolehan yang menepati ramalan pelbagai pihak tetapi turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir pada 21 Januari lalu mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat (Parlimen).

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.

Media melaporkan, Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Mesir, Abdul Moez Ibrahim ketika mengumumkan keputusan itu menjelaskan, jumlah pengundi yang keluar mengundi sebanyak 54 peratus.

Dengan keputusan itu juga, FJP telah memutuskan untuk melantik seorang ahli politik kanannya, Saad al-Katatni sebagai ketua (speaker) Majlis Rakyat.

Menurut Gomaa, penglibatan Ikhwan dalam politik di Mesir bukanlah untuk merebut jawatan presiden, tetapi untuk menguasai Parlimen bagi membolehkan pihaknya memainkan peranan dalam penggubalan undang-undang yang selaras dengan kehendak Islam.

Katanya, meskipun parti-parti Islam lain bukanlah satu 'kapal' dengan Ikhwan, tetapi hubungan Ikhwan dengan parti-parti itu amat baik.

"Kesemua parti dan keseluruhan rakyat Mesir sendiri mempunyai tujuan yang sama, iaitu ingin menjatuhkan pemerintahan regim Hosni Mubarak bagi melakukan perubahan di Mesir," jelasnya.

Setelah berjaya menguasai Parlimen, tambahnya, Ikhwan Muslimin akan berusaha merealisasikan dasar-dasar perjuangannya dengan melaksanakan sistem perundangan Islam di Mesir.

Pada pertemuan yang turut dihadiri Mohd Faiz Nawi dari Lajnah Antarabangsa PAS Pusat dan Wartawan Kanan Harakah cetak, Zainuddin Hashim yang turut berperanan sebagai penterjemah itu, beliau menjelaskan, walaupun begitu, Ikhwan Muslimin tetap tidak dapat mengelak dari menghadapi cabaran dan halangan bagi melaksanakan undang-undang Islam di negara itu.

"Cabaran dan halangan untuk melaksanakan undang-undang Islam itu memang tetap ada dan itu semua sudah menjadi perkara biasa dalam perjuangan Islam.

"Perkara penting bagi Ikhwan, sekarang Ikhwan Muslimin dan perjuangannya telah diterima oleh rakyat Mesir. Jadi untuk melaksanakan perkara itu mestilah dibuat secara berperingkat-peringkat," tegasnya.

Peringkat pertama yang akan dilakukan oleh pihaknya dengan mendidik rakyat agar memahami undang-undang Islam menerusi proses tarbiyah yang akan dilaksanakan secara berterusan.


2 ulasan:

Abdullah Ngah berkata...

ini menunjukkan akhwan tak ada tokoh yang benar benar layak jadi presiden Mesir.

Tanpa Nama berkata...

Ikhwan Muslimin (Muslim Brotherhood) mesti tanding pilihanraya Presiden Mesir dan jika mereka tidak ini bermaksud mereka tidak ada calon yang benar-benar layak untuk tanding.