30 Mac 2012

PAS Perak ucap takziah Raja Ashman Shah mangkat

7 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

IPOH, 30 Mac: PAS Perak mengucapkan takziah kepada keluarga Tuanku Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbudin Shah di atas kemangkatan puteranya Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ashman Shah seawal 1.30 pagi tadi.

Demikian dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abu Bakar Hussian dalam satu kenyataan, pagi ini.

Berikut kenyataan beliau.

Takziah daripada PAS Perak kepada keluarga Tuanku Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbudin Shah di atas kemangkatan puteranya Yang Mulia Al Marhum Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ashman Shah seawal 1.30 pagi tadi.

Yang mulia Al Marhum Raja Ashman Shah telah diputerakan pada 28 Disember, 1958 di Pulau Pinang, beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah St. John, Kuala Lumpur dan selepas itu melanjutkan pelajaran menengahnya di Leys School, Cambridge, London.

Apabila tamat pelajaran di peringkat menengah, Yang Mulia Al Marhum Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ashman Shah melanjutkan pelajaranya dalam bidang jurusan ekonomi sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda di Universiti of Nottingham pada tahun 1981. Seterusnya beliau telah melanjutkan pengajiannya di dalam undang-undang dan telah mendapat Sarjana Undang-Undang dari Universiti Cambridge dan di Lincoln’s Inn, London.

Sewaktu beliau sedang menimba pengalaman sebagai chambering student dari tahun 1985 hingga 1986, beliau telah bertemu dengan Sheikh Nazim di London. Kandungan, kaedah dan penyampaian ilmu Islam daripada Sheikh Nazim telah menawan hati Yang Mulia Al Marhum Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ashman Shah , dengan hati yang terbuka dan minda yang cergas, beliau telah memanfaatkan apa yang diperoleh daripada Sheikh Muhammad Nazim al-Haqqani.

Kami memohon kepada Allah SWT agar memberikan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga Tuanku Sultan Perak, semoga Allah SWT menempatkan Al Marhum Yang Mulia Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ashman Shah bersama auliya’ dan solihin, Ameen.

Ustaz Abu Bakar Hussian

(Pesuruhjaya PAS Perak)

Tiada ulasan: