30 Mac 2012

Penjara 3 tahun dagang wanita

7 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik agensi pembantu rumah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah memperdagangkan dua wanita warga Filipina tanpa membayar gaji mereka, empat tahun lepas.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan warga Singapura Eugene Lim Beng Huat gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Eugene Lim yang menghadapi dua pertuduhan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Ahmad Zamzani turut membenarkan permohonan peguam Tan Wee Yee, yang mewakili tertuduh, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Beliau memerintahkan jumlah jaminan tertuduh sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dinaikkan kepada RM50,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga selesai rayuan. - BERNAMA

Tiada ulasan: