13 Mac 2012

Pemuda PAS minta tambah bantuan mangsa banjir

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor memohon Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor supaya dapat menyalurkan peruntukan tambahan segera kepada mangsa-mangsa banjir yang telah terjejas teruk akibat banjir besar baru-baru ini.

Begitupun, ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan merakamkan penghargaan di atas sumbangan segera yang telah disalurkan oleh kerajaan negeri baru-baru ini sebanyak RM300 untuk setiap keluarga.

“Walau bagaimanapun berbanding dengan kemusnahan yang berlaku jumlah sumbangan tersebut perlu ditambah,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Di samping itu, kata beliau pihaknya menggesa agensi-agensi kerajaan negeri seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat-pejabat daerah dan anak-anak syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dapat digerakkan secara berjadual untuk bergotong-royong membantu mangsa-mangsa di dalam kerja-kerja pembersihan.

Sehubungan itu juga, katanya Pemuda PAS negeri melalui Skuad Unit Amal telah turut turun membantu semenjak dari hari pertama kejadian sehingga sekarang tetapi sangat terhad pergerakan mereka dari sudut kelengkapan peralatan dan sumber kewangan.

Beliau berkata, pihaknya amat mengharapkan semoga banyak pihak yang akan tampil untuk menghulurkan sumbangan dan bantuan tenaga kerja untuk membantu mangsa-mangsa banjir tersebut.

“Selain itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga sangat berharap semoga pihak kerajaan negeri dapat menyegerakan penyelarasan penyaluran peruntukan tambahan tersebut kerana tindakan itu adalah untuk kebaikan dan kebajikan rakyat Selangor jua,” ujarnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: