13 Mac 2012

Tidak puas hati kena saman

20 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Seorang pemandu tidak berpuas hati apabila dikenakan saman oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer 66 Jalan Kuantan-Maran, di sini, 11 Mac lalu.

Mohd Izham Firdaus Khuzaai, 27, berkata, ketika ditahan dia mengakui tempoh sah lesen memandunya sudah tamat.

Katanya, sebelum ini dia pernah ke pejabat pos untuk memperbaharui lesen memandu, tetapi petugas di kaunter memberitahu lesen memandunya masih sah dan hanya akan tamat tempoh mengikut tarikh lahirnya.

“Saya sedia maklum tentang pengumuman tarikh tamat tempoh lesen memandu adalah sama dengan tarikh lahir seseorang pemegang lesen.

“Pun begitu, saya tidak pasti sama ada perlu memperbaharui lesen terlebih dahulu atau sebaliknya,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak JPJ seharusnya memberi kefahaman terlebih dahulu kepada jabatan terlibat dengan urusan memperbaharui lesen supaya tidak mengelirukan orang ramai.

“Bila timbul isu ini, siapa yang harus dipersalahkan? Bukan saya tidak mahu memperbaharui lesen memandu, saya sudah pergi ke pejabat pos.

“Bila kena saman, sudah tentulah saya tidak puas hati,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pahang, Datuk Zakaria Man berkata, pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) perlu memperbaharui lesen memandu terlebih dahulu sebelum tarikh tamat tempoh lesen memandu diselaraskan mengikut tarikh lahir.

“Tidak dinafikan, masih ramai yang kurang faham dan keliru tentang sistem baru ini. Pun begitu, pihak kami sedia untuk memberikan maklumat kepada pelanggan yang datang ke JPJ.

“Mereka perlu datang memperbaharui lesen kerana sistem dalam komputer yang akan set tarikh tamat tempoh lesen memandu mengikut tarikh lahir,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: