15 Mac 2012

Wasatiyyah Najib tak sama dengan cara Rasulullah

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Konsep wasatiyyah yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya menjadi gagasan kerajaan disifatkan sebagai kosmetik semata-mata.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh (gambar) berkata, kaedah wasatiyyah yang diperkenalkan oleh Najib adalah wasatiyyah ciptaannya sendiri.

Katanya, Perdana Menteri tidak boleh menggunakan perkataan wasatiyyah ketika mengemukakan dasar-dasar dalam negara kerana ia terikat dengan dasar Islam.

"Kaedah wasatiyyah yang sebenar adalah daripada agama Islam itu sendiri, jadi semua prinsip atau pendekatan yang diguna pakai bercanggah dengan Islam tidak dikira sebagai wasatiyyah.

"Jadi PM kena faham bila sebut wasatiyyah mesti rujuk apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW," katanya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, wasatiyyah adalah kaedah yang digunakan Rasulullah yang diterjemahkan oleh baginda di Mekah dan Madinah.

Tegasnya, wasatiyyah yang pernah dilaksanakan oleh masyarakat sehingga kiamat mesti berpaksi pada kaedah yang ditetapkan dalam Islam.

Wasatiyyah yang ditetapkan dalam Islam, katanya terdapat perkara yang boleh dibincangkan dan ada perkara tidak boleh dirunding iaitu yang membabitkan dasar-dasar Islam.

"Jadi kalau kita lihat dua kaedah ini yang dibawa oleh Rasulullah, perkara ini tidak wujud langsung dalam pentadbiran Umno BN hari ini, barangkali ada hanya segelintir sahaja," katanya.

Misalnya, kata beliau, wasatiyyah yang diamalkan oleh Rasulullah membabitkan peraturan, perundangan negara atau dasar yang diamalkan dalam negara.

Justeru katanya, dasar Islam adalah dasar wasatiyyah yang memberi keadilan kepada semua kaum dan agama, jadi apa yang berlaku dalam negara pada hari ini memperlihatkan dasar ini ditolak oleh Umno dengan mengambil dasar lain.

Terdahulu, Najib dalam jawapan kepada Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 12 Mac, menegaskan kerajaan memperkenalkan konsep wasatiyyah sebagai pemangkin kepada Gagasan 1Malaysia.

Ekoran itu, kerajaan telah mengumumkan penubuhan Institut Wasatiyyah yang akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri manakala kerusi wasatiyyah diwujudkan di Universiti Malaya yang akan menjadi pemangkin kepada gerakan kesederhanaan di Malaysia.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: