15 Mac 2012

Anggota Polis Maut Dalam Kemalangan Selepas Motosikal Terbabas

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGE TOWN: Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Sungai Pinang, di sini pada pukul 12.40 tengah hari Rabu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata mangsa Kpl R. Govindaraju, 57, yang bertugas sebagai anggota Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.

"Kemalangan itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa telah bergesel dengan sebuah motosikal lain dari arah sama sebelum dia terbabas ke arah bertentangan dan dirempuh sebuah lori.

"Akibat rempuhan kuat itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Tiada ulasan: