27 April 2012

Bumbung terbang 200 meter

5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LIPIS - Sepasang suami isteri di Kampung Redan, di sini, berhadapan detik mencemaskan apabila rumah mereka dilanda ribut, petang kelmarin.

Mangsa, Keng Hock Kee, 77, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 malam dan ketika itu dia bersama isteri, Lim Hin, 67, baru selesai makan malam.

Menurutnya, semasa ingin menutup pintu dapur, angin kuat menolak pintu itu semula, selain melihat api dari dapur kayu bertukar menjadi besar akibat ditiup angin.

“Dalam masa sama, saya dikejutkan dengan bunyi kuat sebanyak tiga kali dan terkejut apabila melihat atap zink di bahagian bumbung ruang tamu, dapur serta bilik tidur utama diterbangkan angin kencang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Hock Kee berkata, hujan lebat terus mencurah masuk ke bahagian tengah rumahnya hingga menyebabkan peralatan elektrik rosak.

“Kejadian ini berlaku begitu pantas dan saya tidak sempat mengalihkan barangan elektrik seperti televisyen, radio dan seterika ke tempat lebih selamat.

“Atap zink rumah ini diterbangkan angin sejauh 200 meter dan tersangkut di batang pokok getah berdekatan rumah kami,” katanya.


Trauma lihat atap terbang

Sementara itu, Lim Hin berkata, bencana itu memberi kesan kepada mereka suami isteri kerana banyak kemusnahan berlaku dalam sekelip mata.

Menurutnya, sejak menetap di kampung berkenaan sejak 29 tahun lalu, kejadian itu paling teruk pernah dialami mereka sekeluarga.

“Selain mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan barangan elektrik, terdapat juga pokok buah-buahan yang ditanam di sekitar rumah musnah.

“Saya juga seolah-olah trauma apabila melihat sendiri angin kencang menerbangkan atap rumah dan berharap bencana itu tidak berulang lagi,” katanya.

Anaknya, Kheng Bun Ann, 29, berkata, dia terkejut melihat keadaan rumah keluarganya yang hampir musnah akibat kejadian ribut itu.

“Saya menerima panggilan telefon daripada ayah kira-kira jam 8.30 malam memaklumkan sebahagian rumahnya musnah akibat dilanda ribut dan hujan lebat.

“Saya tinggal di Kedah terus bergegas pulang ke kampung dan terkejut melihat keadaan rumah ibu bapa saya,” katanya.

Bagaimanapun dia bersyukur kedua ibu bapanya tidak mengalami sebarang kecederaan.


Hulur sumbangan

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah, Badrul Hisam Md Yassin berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan dari Tabung Malapetaka Daerah Lipis sebanyak RM1,000 kepada keluarga mangsa.

Menurutnya, sejurus menerima maklumat, wakil JKM datang meninjau untuk mengenal pasti jumlah kasar kerosakan yang dialami keluarga Hock Kee.

“Kami menganggarkan jumlah kerosakan melebihi RM5,000. Dengan sedikit bantuan kewangan diharap dapat mengurangkan beban keluarga ini untuk membeli barangan keperluan yang kebanyakannya telah musnah akibat kejadian itu,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: