27 April 2012

Bersih 3.0: PR Perak turun dengan 50,000 ahli

5 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH: Pakatan Rakyat Perak akan menghantar semaksima mungkin ahlinya untuk menyertai perhimpunan Bersih 3.0 esok.

Pengerusi Sekreteriat Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, lebih 50,000 ahli terdiri daripada seluruh kawasan di negeri ini akan bersama-sama berhimpun bagi menyatakan sokongan yang padu kepada tuntutuan Bersih.

“Kita akan tetap turun walaupun mendapat maklumat bahawa ketika ini setiap jalan menuju ke Kuala Lumpur kini mempunyai sekatan.

“Di mana kami berhenti semaksima, disitu kita akan ‘duduk bantah’ ,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, himpunan ini bukan untuk mencetuskan suasana tidak tenteram di Negara ini tetapi ianya bertujuan untuk mendesak kerajaan dan SPR merealisasikan 8 tuntutan Bersih yang masih belum dipenuhi.

Mohammad Nizar berkata, ketika ini rakyat sudah tidak lagi mempercayai sistem pilihanraya kerana pelbagai kepincangan dan ketidak adilan yang berlaku.

Menurutnya, Bersih dengan kerjasama Pakatan Rakyat juga akan berhimpun di Padang Polo, Ipoh Perak pada hari dan masa yang sama.

“Kepada sesiapa yang tidak berkesempatan untuk turun ke Kuala Lumpur, mereka boleh bersama-sama menyatakan sokongan terhadap tuntutan Bersih di Padang Polo, Ipoh,” jelasnya.

Sementara itu, pihak Harakahdaily mendapat makluman bahawa terdapat banyak poster-poster fitnah ditampal di masjid-masjid sekitar bandar Ipoh.

Poster tersebut menyatakan sesiapa yang ingin pergi ke himpunan Bersih di Kuala Lumpur, bolehlah mengambil wang daripada Mohammad Nizar di Pejabat PAS Perak malam ini dan mantan menteri besar itu menafikan sekeras-kerasnya tentang pemberian wang tersebut.

Hadir Sama dalam sidang media tersebut ialah Pengerusi DAP Negeri, Dato' Ngeh Koo Ham; Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Dr Mohd Nur Manuty dan Adun-Adun serta pimpinan Pakatan Rakyat Perak.

Harakah Daily

Tiada ulasan: