03 April 2012

‘Pegawai imigresen’ samun pelancong

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU- Seorang jurujual minyak wangi dijatuhi hukuman penjara 36 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas mengaku bersalah menyamun seorang pelancong asing dari India dengan menyamar sebagai pegawai imigresen pada 23 Mac lalu.

Tertuduh, Rosan Singh a/l Sohan Singh, 43, dari Petaling Jaya, Selangor, mengaku melakukan kesalahan itu pada 23 Mac lalu kira-kira jam 8.30 pagi di hadapan tempat letak kereta Jalan Kampung Tiong, di sini.

Mengikut pertuduhan, Rosan Singh dengan sengaja mengambil wang RM1,350 dan sebuah telefon bimbit jenama Nokia Model 1202 tanpa kerelaan dan telah mengugut serta menggertak menggunakan kayu menyebabkan ketakutan terhadap Devaraj a/l Govindaraj.

Oleh itu, bapa kepada tiga anak itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh merayu agar mahkamah meringankan hukuman terhadapnya kerana mendakwa semasa kejadian dia dalam keadaan mabuk dan baru lepas mengambil ubat sakit jiwa.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang menaiki kereta Proton Wira telah menghampiri mangsa lalu memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen sebelum bertindak memaksa mangsa membawanya ke hotel yang disewa.

Tertuduh yang mendakwa datang ke negeri ini untuk berniaga turut mengugut akan memasukkan mangsa ke dalam penjara sekiranya enggan memberi kerjasama.

Mangsa yang ketakutan hanya mengikut arahan dan apabila tiba di lokasi kejadian iaitu di hadapan tempat letak kereta Jalan Kampung Tiong, di sini, tertuduh memaksa mangsa menyerahkan semua barangan berharga dengan memukul mangsa di bahagian leher dan tulang rusuk menggunakan tangan.

Dalam masa sama, tertuduh turut mengugut akan menetak mangsa menggunakan kayu sekiranya enggan menyerahkan barangan yang diminta termasuklah wang tunai.

sinar harian/-

Tiada ulasan: