03 April 2012

Berapakah kos sebenar kerja haji tanpa subsidi?

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 April: Perdana Menteri diminta menyatakan kos mengerjakan haji yang sebenar tanpa pemberian subsidi dan senaraikan perincian kos tersebut.

Demikian soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.

Berikut ialah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Dr Mohd Hayati Othman [Pendang] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan jumlah Klinik Cure & Care dan jumlah pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan serta kesannya kepada pelanggan sehingga kini dan anggota terlibat dan jenis perkhidmatan yang diberikan.

Dr Siti Mariah Binti Mahmud [Kota Raja] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan apakah rasionalnya Ketua Pengarah Jabatan Kesatuan Sekerja (DGTU), Kementerian Sumber Manusia membenarkan pendaftaran sebuah lagi kesatuan pekerja MAYBANK (MAYNEU) sedangkan kesatuan yang sah ialah NUBE. Apakah langkah Kerajaan untuk memastikan pemberian ganjaran (gaji dan bonus) pekerja sokongan dan perkeranian di dalam syarikat GLC seperti Maybank lebih adil dan saksama.

Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN menyatakan permainan-permainan tradisional yang dianggap masih ada dalam masyarakat sekarang dan jumlah peruntukan yang digunakan Kerajaan bagi membantu mengikut jenis-jenis permainan berkenaan.

Che Uda Che Nik [Sik] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan bahawa setiap kali banjir berlaku, Kerajaan berjanji untuk memasang alat pengesan dan amaran awal banjir di kawasan-kawasan yang sering berlaku banjir, di mana alat-alat ini di pasang dan bilangan tambahan alat dipasang sejak 2010 hingga sekarang.
Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah FBC Media Ltd membayar balik jumlah wang RM80 juta yang dibayar oleh Kerajaan kepada FBC Media Ltd selepas BBC memohon maaf kerana menyiarkan program hal ehwal semasa termasuk 8 program dokumentari untuk menaikkan imej Kerajaan Barisan Nasional dan kepimpinan Perdana Menteri di peringkat antarabangsa yang melanggar peraturan dalaman syarikat dan adakah Kerajaan akan menuntut kembali wang tersebut.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin [Bukit Gantang] minta PERDANA MENTERI menyatakan senarai pengumuman-pengumuman semua peruntukan yang dibuat beliau ketika melawat dan berada di Negeri Perak dalam lawatan rasminya sepanjang 12 September, 2011 hingga 12 Mac 2012. Nyatakan secara terperinci penerimanya (seperti sekolah, jabatan, agensi Kerajaan, rumah ibadat, kaum asli dan kaum lain, NGO, dewan-dewan dan lain-lain).

Mohd Firdaus Jaafar [Jerai] minta PERDANA MENTERI menyatakan kos mengerjakan haji yang sebenar tanpa pemberian subsidi dan senaraikan perincian kos tersebut.

Dr Mohd Hatta Md Ramli [Kuala Krai] minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi meningkatkan keupayaan capaian 3G oleh syarikat telekomunikasi di kawasan luar bandar yang mengalami masalah kegagalan jalur lebar akibat kecurian kabel talian kekal yang berleluasa.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: