08 Mei 2012

BERSIH 3.0 Betul-betul Takutkan Najib, Umno-BN

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BATU CAVES, 8 MEI : Perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung pada 28 April lalu di Dataran Merdeka disifatkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai titik tolak kepada kebangkitan rakyat untuk menentang pemerintahan kerajaan Umno-BN.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyertaan lebih 300,000 peserta pada perhimpunan itu menimbulkan reaksi kurang senang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang nyata semakin cuak terhadap desakan rakyat.

Ia dikuatkan lagi dengan tindakan Najib yang meminta bantuan tiga bekas Ketua Polis Negara untuk menyokong hujah beliau bagi mengaitkan BERSIH 3.0 sebagai perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan.

“Terdesaknya PM sehingga terpaksa minta Jabatan Fatwa mengeluarkan fatwa dan terdesaknya beliau sehingga terpaksa menggunakan khidmat Tun Hanif Omar, Tan Sri Rahim Noor dan Tan Sri Musa Hassan yang masing-masing mempunyai rekod buruk bagi menyokong hujah beliau.

“Penyertaan rakyat semasa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah lambang kepada kebebasan terhadap ugutan dan kezaliman Umno-BN,” katanya di satu ceramah perdana dan jelajah Merdeka Rakyat : Pasca BERSIH 3.0 di Kampung Baru di sini malam tadi.

Tambahnya, perhimpunan itu juga membuktikan kebangkitan rakyat untuk menolak sebarang percubaan penipuan dan manipulasi pilihan raya oleh badan pengendalinya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Saifuddin turut menyelar tindakan SPR yang sewenang-wenangnya menukar kawasan mengundi seperti yang dialami Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan alasan mengubahsuai sempadan.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelskan, penyertaan ratusan ribu peserta semasa BERSIH 3.0 adalah sebagai saham dan perjuangan PR untuk menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti.

Beliau berkata, perhimpunan itu adalah sebagai satu permulaan di kalangan pemimpin PR dan rakyat untuk menentang kezaliman Umno-BN dan akan diteruskan pada masa akan datang.

“Kita berikrar untuk bawa perubahan baik kepada negara ini mahupun terhadap rakyat. Perjuangan kita tidak akan selesai dengan perhimpunan sahaja, sebaliknya kita akan buat lagi untuk menyatakan hak dan prinsip kita di negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan PR akan terus mempertahankan hak asasi serta keadilan rakyat terutama kaum Bumiputera sebagai majoriti sekiranya diberi mandat memerintah negara.

selangorku/-

Tiada ulasan: