09 Julai 2012

Pakatan Pahang boleh jana hasil RM1 bilion

19 Syaaban 1433H. [MOD] -

TEMERLOH: Pakatan Rakyat (PR) boleh menjana hasil negeri Pahang sehingga RM1 bilion setahun jika semua sumber daripada hasil tanah ditingkatkan lebih produktif melalui pengurusan yang lebih cekap.

Penganalisis ekonomi dan politik Syed Ali Badaruddin berkata, dengan kemewahan tanah yang luas di negeri ini saja sudah mampu meningkatkan hasil kutipan negeri sebagai sumber ekonomi utama.

“Pada masa ini pengurusan dan pemprosesan tanah melibatkan pindah milik, gadaian dan pembangunan tanah di negeri ini sangat teruk sehingga baru-baru ini Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) terpaksa mengeluarkan kompilasi Arahan Pentadbiran Tanah Negeri.

“Sedangkan setiap proses pindah milik, gadaian, tukar status dan pembangunan tanah mendatangkan wang kepada kantung kerajaan negeri.

“Jadi sebab itu saya kata PR mampu menjana sehingga RM1 bilion asalkan mempunyai komitmen untuk mengurangkan karenah birokrasi dalam kelulusan tanah dan penurunan kuasa iaitu mengikut Seksyen 12 (State Authority) bagi mewujudkan kecekapan dalam pengurusan,” katanya dalam forum ‘Isu-isu tanah’.

Program tersebut diadakan di Darul Hikmah Kerdau. Turut menjadi panel peguam Harris Abdullah, Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pahang Jusoh Darus dan Timbalan Presiden Anak Aris Fezul Ismail.

Syed Ali berkata, pada masa ini pendapatan kerajaan negeri Pahang hanya sekitar RM400 juta termasuk hasil balak sedangkan kos pengurusan sahaja menjangkau RM500 juta.

Tambahnya, itu bermakna kerajaan negeri sentiasa terpaksa berhutang dengan kerajaan pusat bagi menampung perbelanjaan pembangunan dan pengurusan negeri.

“Jika berjaya ke Wisma Sri Pahang, PR juga mesti melihat kepada sumber-sumber baru yang perlu diteroka dan dipergunakan semaksimum mungkin di samping mengembalikan objektif asal kepada semua agensi kerajaan (GLC).

“Dua agensi negeri yang utama iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) mesti distruktur semula kerana fungsinya sudah berubah,” ujarnya.

Menurut Syed Ali, akibatnya kerugian demi kerugian terpaksa ditanggung sehingga hutang kerajaan negeri Pahang pada ketika ini sudah menjangkau RM2.1 bilion.

harakaHDAILY/-

Tiada ulasan: