22 Julai 2012

Suspek penembak pelajar Ph.D

2 Ramadhan 1433H. [MOD] -

ANGGOTA polis berkawal di luar pawagam di mana 12 orang terbunuh ketika asyik menonton filem Batman:The Dark Knight Rises di Aurora, Colorado kelmarin. Gambar kecil, James Holmes.

AURORA, Colorado - Lelaki yang disyaki menembak mati 12 orang pada tayangan filem baharu Batman di negeri Colorado, James Holmes kerap dilihat berulang-alik dari kediamannya di sini dengan membawa senjata api.

Holmes, 24, kelmarin juga disifatkan sebagai kera sumbang ekoran tidak suka bercampur dengan masyarakat.

Dia mendaftar sebagai pelajar kedoktoran jurusan sains saraf di Universiti Colorado sejak tahun 2011 tetapi dilaporkan sedang dalam proses untuk membatalkan program Ph.Dnya.

"Pemuda ini sentiasa dilihat memakai seluar berceloreng tentera dan topi," kata seorang wanita berketurunan Mexico, Gabriel Macias yang bekerja di sebuah kilang daging di sini.

Menurutnya, dia kerap melihat Holmes berulang-alik dari apartmennya sambil membawa senjata dan sarung senjata.

"Kami tidak kenal Holmes kerana dia tidak bercakap dengan sesiapa. Dia gemar berkurung di apartmennya," kata Macias.

Polis memberitahu wartawan bahawa suspek tiada rekod jenayah lampau dan cuma pernah disaman pada tahun 2011 kerana memandu laju.

Ketua Polis Aurora, Dan Oates berkata, pemuda itu membeli lebih 6,000 butir peluru melalui internet sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, jumlah tersebut merangkumi 3,000 butir peluru raifal, 3,000 butir peluru pistol Glock dan 300 butir peluru senapang patah.

Kata Oates, semua pembelian itu termasuk empat pucuk senjata api yang dibeli Holmes di beberapa buah kedai senjata di sini sejak 60 hari lalu, sah di sisi undang-undang.

Beliau turut memberitahu bahawa 70 orang cedera dalam insiden itu termasuk tiga rakyat Indonesia.

"Hampir semua orang ditembak dalam serangan kejam ini," katanya.

Dalam kejadian kelmarin, Holmes ditangkap selepas melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penonton yang sedang asyik menonton tayangan filem Batman: The Dark Knight Rises pada tayangan tengah malam di pawagam Century 16.

Serangan berdarah itu berlaku di sebuah pusat beli-belah di sini.

Polis kini memburu seorang lagi lelaki bersenjata yang terlibat dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai itu.

Bandar ini terletak hampir 32 kilometer dari lokasi kejadian pembunuhan beramai-ramai di Sekolah Tinggi Columbine pada tahun 1999.

Dalam insiden tersebut, dua pelajar menembak mati 13 orang sebelum membunuh diri. - Agensi

Tiada ulasan: