17 Ogos 2012

2 maut, 3 ‘ditelan’ tanah jerlus

28 Ramadhan 1433H. [MOD] -

ANGGOTA penyelamat menggunakan tali untuk masuk ke lubang sedalam 10 meter.
SEORANG daripada mangsa kemalangan dibawa keluar untuk dikejarkan ke hospital.
SEORANG daripada mangsa kemalangan dibawa keluar untuk dikejarkan ke hospital.

BEIJING: Tanah jerlus menyebabkan sebahagian daripada sebatang jalan sibuk di tengah bandar Harbin, Heilongjiang, berlubang dan ‘menelan’ beberapa orang, menyebabkan dua daripadanya maut, semalam.

Tiga mangsa lain, termasuk seorang bayi perempuan, cedera apabila lubang selebar enam meter terbentuk di Jalan Liaoyang di daerah Nangang.


Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa selepas mereka menggunakan terowong pembetung untuk memasuki lubang berkenaan. Jurucakap pasukan penyelamat berkata, dua mangsa yang terbunuh itu mengalami kecederaan parah akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Bagaimanapun, penyelamat terkejut apabila mendapati, bayi terbabit hanya mengalami cedera ringan di kepalanya.

Dua lagi mangsa yang cedera masih dirawat di hospital tempatan.

Menurut jurucakap penyelamat, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 4 petang (waktu tempatan).

“Akibat tanah jerlus itu, satu lubang sedalam 10 meter terbentuk di tengah laluan sibuk berkenaan,” katanya. Pihak berkuasa terpaksa menutup jalan berkenaan untuk sementara bagi membolehkan penyelamat mengeluarkan mangsa kemalangan.

Penilaian juga dijalankan terhadap kemungkinan ada bahaya susulan daripada insiden itu. Polis berkata, punca kejadian masih disiasat.- DM

Tiada ulasan: