12 Ogos 2012

Amerika kecam Hezbollah yang bantu Syria

23 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SYRIA: Ameriksa Syarikat mengecam Hezbollah, parti politik Lebanon, kerana memberi sokongan kepada Presiden Syria Bashar al-Assad,dan menyenaraikan parti politik itu dalam senarai organisasi yang dikenakan sekatan kerana hubungan mereka dengan kerajaan Syria.

Amerika Syarikat sebelum ini sudah megklasifikasikan Hezbollah sebagai “organisasi pengganas” dan di bawah sekatan US, tetapi langkah yang diambil Amerika Syarikat Jumaat lalu betul-betul mengaitkan parti ini dengan keganasan yang berlaku di Syria, di mana Assad sedang cuba mematahkan serangan kumpulan penentang.

Hezbollah adalah sebuah parti politik tentera bersenjata yang kuat dan mendapat sokongan padu dari kalangan puak Syiah Lebanon.

“Tindakan ini mendedahkan aktiviti Hezbollah di Syria dan peranan pentingnya dalam meneruskan keganasan yang dilakukan rejim Assad terhadap rakyat Syria,” kenyataan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat Jumaat lalu.

Hezbollah telah dimasukkan dalam senarai hitam kerajaan Amerika Syarikat di bawah arahan eksekutif yang ditandatangani Presiden Barack Obama Ogos tahun lepas, menjadikan kerajaan negara jiran Syria dan penyokongnya itu sebagai sasaran.

Sekatan itu dilaksanakan untuk memberi tekanan kepada Syria setelah Amerika Syarikat buat pertama kalinya meminta Assad untuk menghentikan serangan pihak tenteranya kepada kumpulan penentang.

Amerika Syarikat turut mengenakan sekatan terhadap Sytrol, syarikat minyak negara Syria kerana membekalkan minyak kepada Iran, lapor Jabatan Negara Amerika Syarikat.

“Walaupun sekatan ini adalah kesan langsung pembekalan gasolin Syria kepada Iran, Amerika Syarikat tetap melihat sokongan Iran terhadap rejim Assad sebagai sesuatu yang tidak munasabah,” Patrick Ventrell, jurucakap Jabatan Negara, dalam satu kenyataan bertulis.

Bekas Menteri ditahan

Dalam perkembangan lain, pihak keselamatan Lebanon menahan Michel Samaha, bekan Menteri Penerangan, yang dianggap rapat dengan kerajaan Syria, berkenaan sebuah kes yang dikaitkan dengan rancangan letupan, lapor media tempatan.

Penahanan beliau pada hari Khamis lalu dikaitkan dengan rampasan bahan letupan yang akan digunakan di kebanyakan tempat di Utara Lebanon, kawasan yang dikaitkan dengan konflik di Syria, beritahu seorang pegawai kanan kerajaan yang enggan namanya didedahkan kepada agensi media AFP.

“Tuduhan terhadap Samaha adalah berkaitan dengan bahan-bahan letupan, yang telah dirancang untuk diletakkan di sebahagian tempat dalam negara ini, terutamanya di bahagian Utara,” ujar pegawai itu.

Pegawai tersebut enggan menjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan dakwaan itu, tetapi menyatakan bahawa bahan letupan itu tidak dirampas dari rumah Samaha di mana tangkapan terhadap Samaha dibuat.

Tiada kenyataan rasmi berkenaan penahanan Samaha ataupun pengakuannya seperti yang dilaporkan oleh salah sebuah stesen TV di Lebanon.

Samaha ditahan di bawah perintah Peguam Negara Lebanon di kediamannya di Khenshara, 30km arah utara dari Beirut, pegawai kanan itu memberitahu AFP.


Iran sokong Syria

Sementara itu, seorang pegawai kanan kerajaan Iran melawat Damaskus Selasa lalu di mana pegawai itu bertemu Assad.

Saeed Jalili, pembantu kanan kepada Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberitahu Assad bahawa Iran akan terus menyokong kerajaan Syria.

Dalam perbincangan dengan Assad, Jalil berkata apa yang berlaku di Syria bukanlah “isu dalaman”.

“Dari satu segi, ia adalah konflik antara pemberontak dan kerajaan, tapi dari sudut yang lain ia adalah konflik antara kerajaan dan musuh globalnya,” ujar Jalili.

Isnin lalu, dalam lawatannya ke Beirut, ibu kota Lebanon, Jalili mengeluarkan amaran kepada negara yang menyokong kumpulan pemberontak itu.

“Mereka yang percaya bahawa, dengan menimbulkan kekacauan dalam negara lain dengan menghantar senjata dan mengeskport pengganas, akan memberi keselamatan kepada negara sendiri adalah salah,” Jalili dilaporkan berkata demikian oleh agensi berita IRNA kepada Adnan Mansor, Menteri Luar Lebanon.

(Dari video warga Iran yang ditahan)

Dalam perkembangan lain, Iran mendakwa tentera yang sudah bersara adalah antara rakyat Iran yang ditawan pemberontak.

Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi berkata Rabu lalu, bahawa ahli Tentera Revolusi Iran (Iran's Revolutionary Guards) yang “telah bersara” adalah antara 48 rakyat Iran yang ditahan di Syria oleh pihak pembangkang.

Salehi berkata tentera yang “sudah bersara” itu dalam perjalanan mengerjakan ibadah di Damaskus apabila mereka ditawan Sabtu lalu.

“Beberapa tawanan Iran adalah tentera yang “sudah bersara”. Sebahagian lain pula adalah dari kementerian.,” Salehi dilaporkan berkata demikian kepada pemberita dalam perjalananan pulang dari Turki, di mana beliau meminta pertolongan untuk membebaskan rakyat Iran yang ditawan.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: