12 Ogos 2012

Buka puasa air mineral

23 Ramadhan 1433H. [MOD] -

MELAKA: Hasrat dua keluarga menyambut Aidilfitri di rumah pusaka mereka tidak kesampaian apabila kedua-dua kediaman itu hangus dalam kebakaran membabitkan lima rumah di Kampung Limbongan, dekat sini, kelmarin.

Malah, kebakaran menyebabkan mangsa, Murad Loyot, 48, bersama penduduk sekitar hanya sempat berbuka dengan air mineral kerana bertungkus-lumus membantu anggota bomba dan penyelamat mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berdekatan.

Kebakaran mengakibatkan dua rumah, termasuk satu milik Azizah Salleh, 78, yang dijaga Murad musnah sepenuhnya manakala tiga lagi mengalami kerosakan 10 peratus.

Kejadian jam 6.30 petang itu turut mengakibatkan hampir 20 keluarga di sekitar kawasan itu bergelap selepas talian elektrik terpaksa dipotong bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Malah, usaha menyelamat menemui kesukaran berikutan jalan sempit menyukarkan jentera bomba memasuki kawasan kebakaran.

Murad berkata, dia hanya menyedari kebakaran itu selepas mendengar bunyi sampah terbakar di rumah bersebelahan.

“Saya berada di dalam rumah selepas baru pulang dari kerja jam 5.30 petang sebelum terdengar bunyi seperti sampah terbakar dan apabila keluar, saya terkejut melihat api menjulang di dalam bilik bersebelahan dapur di rumah sebelah,” katanya. Menurutnya, dia yang tidak sempat menyelamatkan barangan berharga, termasuk dokumen penting, berlari mendapatkan bantuan jiran untuk menghubungi bomba.

Katanya, kebiasaannya Azizah yang pulang sebulan sekali akan menyambut Aidilfitri di rumah itu setiap tahun bersama anaknya.

metro/-

1 ulasan:

Mohamad Fathi berkata...

ish2.. kesian mereka..