02 Ogos 2012

'Dakwa Rafizi bukti politik dendam Najib'

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan mahkamah ke atas Rafizi Ramli, yang dikenakan pertubuhan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) hari ini, sambil menyifatkannya sebagai "berunsurkan politk semata-mata" dan "politik dendam."

Ketua Pembangkang berkata, motif penangkapan dan pertuduhan yang dikenakan bertujuan untuk memastikan Rafizi, Pengarah Strategi PKR, untuk berdiam daripada terus mendedahkan pelbagai lagi dokumen-dokumen yang melibatkan pimpinan kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Saya yakin bahawa penangkapan Rafizi adalah berkaitan dengan isu skandal National Feedlot Corporation (NFC) dan juga George Kent yang baharu sahaja diberikan kontrak jutaan ringgit," kata beliau.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya penangkapan Rafizi," kata beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, sejak pendedahan NFC akhir tahun lalu sehinggalah kini, dan beberapa lagi skandal penyelewengan, beliau telah mendapat ramai seteru yang berkuasa dan akan menggunakan apa saja cara untuk mendiamkannya.

"Ini menggambarkan politik dendam yang ditunjangi Perdana Menteri Najib Razak dan menggunakan agensi-agensi kerajaan yang dikawal penuh," kata beliau lagi.

Pagi tadi, Rafizi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap pertuduhan mendedahkan penyata akaun projek NFCorp yang menimbulkan kontroversi kepada dua pengamal
media.

Rafizi, 35, didakwa mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan Public Bank Bhd iaitu NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang beliau mempunyai akses, kepada Yusof Abdul Alim dan Erle Martin Carvalho di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square Jalan Tropicana Selatan Petaling Jaya pada 7 Mac
lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 103 (1) (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, kerani bank Johari Mohamad, 41, yang didakwa bersubahat dengan Rafizi pada tarikh dan di alamat yang sama, juga mengaku tidak bersalah.

Johari didakwa mengikut Seksyen 112 (1) (c) Bafia, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 103 akta yang sama.

Anwar berkata, Rafizi telah dituduh di bawah Bafia dan ini hanyalah satu cara bagi mereka untuk terus menakutkan rakyat yang mahu mencari kebenaran di sebalik kontrak dan kronisme yang berkaitan dengan pimpinan Umno-BN.

"Saya dengan ini memberi sokongan penuh terhadap Rafizi atas semangat dan keberanian beliau dan berharap keluarga beliau akan dapat melalui dugaan ini dan yakin bahawa keadilan akan berpihak kepada yang benar dan berani," katanya lagi.

sinar harian/-

Tiada ulasan: