02 Ogos 2012

Pelajar UPM cipta vitamin untuk kanak-kanak Kenya

13 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SERDANG - Sekumpulan pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menghasilkan produk dari kulit buah mangga yang diberi nama Vit-A-Go yang kaya dengan vitamin A.

Ia bagi mengatasi masalah kekurangan vitamin di kalangan kanak-kanak Kenya. Ciptaan itu memenangi hadiah pertama dari penyertaan 29 negara lain di pertandingan Membangunan Penyelesaian bagi Negara Membangun anjuran Institute of Food Technologists Student Association (IFTSA) di Pusat Konvensyen Las Vegas, Amerika Syarikat dari 25 hingga 28 Jun lalu.

Menurut salah seorang pelajar itu, Sew Chang Chew, 26, produk tersebut dihasil dari mangga yang ranum yang kemudiannya melalui pelbagai proses mudah. Ia turut dicampur asid sitrik.

"Kenya mempunyai banyak buah mangga. Apabila musim ia berbuah, kanak-kanaknya mudah memakan mangga yang segar. Namun apabila habis musim, banyak yang terbuang. Jadi buah yang terbuang ini boleh digunakan untuk dijadikan vitamin bagi digunakan sepanjang tahun," katanya kepada pemberita.

Anggota lain kumpulan pelajar itu terdiri daripada Mohd Asraf Mohd Zainudin, 26, Najla Gooda Sahib, 27, Tan Tai Boon, 25, Kuan Chee Hao, 25 dan Lasekan Adeseye O, 29.

Mereka membuat kajian selama lapan bulan sebelum dapat menghasilkan Vit-A-Go ini.

Sew berkata kos pengeluarannya adalah sangat murah iaitu US$0.09 bagi 25 gram kulit mangga.

Beliau berkata vitamin itu boleh digunakan sesiapa sahaja sebagai snek harian yang kaya dengan fiber dan tidak mengandungi sebarang bahan perwarna.

Pihaknya mahu bekerjasama dengan pihak yang sanggup mengkomersialkan produk itu, katanya. - Bernama

Tiada ulasan: