10 Ogos 2012

Jual nasi seawal 10 pagi

21 Ramadhan 1433H. [MOD] -

TAMAN KERAMAT - Tindakan segelintir peniaga di AU3, di sini yang menjual makanan seawal jam 10 pagi menimbulkan kecurigaan penduduk setempat apabila ramai pembeli beragama Islam datang membeli.

Melalui aduan orang ramai, tinjauan Sinar Harian mendapati tiga gerai nasi berlauk menjalankan perniagaan sekitar jam 10 pagi.

Bagaimanapun, aktiviti tersebut mengundang curiga dan ketidakpuasan hati penduduk setempat yang mahukan pihak berkuasa agama menyiasat.

Pengerusi Surau Al- Ehsaniah AU3, Aziz Jaafar berkata, isu peniaga ini sudah berlarutan beberapa tahun setiap kali Ramadan dan penduduk tidak mahu bersubahat sekiranya perniagaan tersebut akan menjurus kepada perbuatan yang dilarang ketika umat Islam melakukan ibadah puasa.

“Penduduk tidak pernah mempertikaikan atau melarang peniaga mencari punca rezeki tetapi waktu mereka berniaga pada bulan Ramadan ini boleh dipersoalkan kerana boleh mengundang pelbagai andaian dan persepsi negatif.

“Pihak berkuasa agama tempatan diharap dapat menyiasat perkara ini kerana selain waktu perniagaan yang terlalu awal, perniagaan ini berkemungkinan boleh mencemarkan kesucian Ramadan sekiranya perniagaan ini menjurus kepada menggalakkan umat Islam untuk tidak berpuasa,” katanya.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Suzieyana berkata, tindakan peniaga ini boleh mencemarkan kebaikan Ramadan sekiranya ada pembeli yang tidak berpuasa mengambil kesempatan.

“Adalah sesuatu yang tidak rasional dan menimbulkan kemusykilan apabila pembeli membeli makanan nasi berlauk seawal 11 pagi sedangkan waktu berbuka puasa masih lambat.

“Dalam pengetahuan saya, pada bulan Ramadan, peniaga hanya boleh berniaga selepas jam 3 petang dan difahamkan pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang berniaga awal.

“Bagaimanapun, peniaga ini seolah-olah kebal menjalankan perniagaan setelah bertahun-tahun menjalankan perniagaan tanpa sebarang tindakan oleh pihak berkuasa setiap kali Ramadan,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: