10 Ogos 2012

Pakatan sokong Hari Internet Blackout

21 Ramadhan 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat menyokong penuh usaha Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia yang melancarkan kempen Hari Internet Blackout pada 14 Ogos 2012 nanti.

"Kita dari Pakatan Rakyat menyokong usaha dan kempen Internet Blackout yang dicadangkan pada 14 Ogos nanti.

"Ia juga selaras dengan penentangan yang dibuat terhadap Seksyen 114A yang merupakan pindaan terbaru bagi Akta Keterangan 2012 yang menyekat kebebasan berintenet," kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini semalam.

Seksyen 114A merupakan pindaan terbaru terhadap Akta Keterangan 2012 yang diwartakan pada 31 Julai lalu.

Ianya dilihat satu usaha untuk menyekat kebebasan pengguna internet di negara ini.

CIJ dalam satu kenyataannya sebelum ini menjelaskan kempen ini bertujuan untuk menyedarkan para pengguna Internet tentang kesan negatif pindaan ini terhadap kebebasan berinternet.

Pada hari Internet Blackout ini, semua laman web yang mengambil bahagian akan ditutup dan tidak dapat diakses dalam masa 24 jam.

Pengguna juga akan dapat melihat paparan yang mempunyai mesej kempen tersebut apabila cuba mengakses laman web tersebut.

"Kita harap semua penyokong Pakatan Rakyat dan pemimpin turut sama dalam kempen tersebut mengelapkan internet tanpa sebarang informasi.

"Dengan cara ini sahajalah kita dapat menunjukkan kepada kerajaan tentangan kita terhadap akta tersebut," sambungnya lagi.

Setakat ini, laman-laman web popular seperti laman jual beli lelong.com.my, komuniti forum cari.com.my, dan portal hiburan gua.com.my telah menyatakan hasrat untuk menyertai kempen ini.

Selain itu, laman berita seperti Malaysiakini, Harakahdaily, Free Malaysia Today, The Nut Graph dan Digital News Asia turut sama menunjukkan minat

Seksyen 114A bukan sahaja mengandaikan kesalahan di pihak tertuduh, bahkan juga menjadikan individu-individu yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan berkaitan Internet seperti ruang forum, blog dan pengehosan web bertanggungjawab terhadap segala bahan yang terkandung dalam perkhidmatan mereka.

Di bawah pindaan terbaru ini, seseorang pengguna Internet yang akaun atau komputernya digodam dianggap bertanggungjawab terhadap segala bahan yang dimuat naik atau turun oleh penggodam.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: