01 Ogos 2012

Kerajaan Selangor sedia biayai kos guaman Rafizi

12 Ramadhan 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bersedia membiayai kos guaman bagi membantu bekas CEO Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Mohd Rafizi Ramli ekoran dakwaan ke atas beliau berkaitan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam Twitternya pagi tadi menyelar tindakan penahanan tersebut selepas Rafzi mendedahkan beberapa skandal utama yang melibatkan pemimpin Umno-BN termasuk Projek Tambahan LRT Ampang.

“Insya-Allah, kerajaan negeri telah menyediakan dana khas untuk menolong membiayai kos guaman Mohd Rafizi Ramli.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mengecam penangkapan dan pendakwaan terhadap Rafizi Ramli kerana membongkar kes penyelewengan NFC & George Kent,” katanya.

Mahkamah Seksyen Shah Alam hari ini menetapkan bayaran ikat jamin sebanyak RM15,000 kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Johari Mohamad serta menetapkan tarikh perbicaraan kes ini pada 10 Septermber 2012.

Rafizi Ramli menerusi laman Twitternya Awal pagi tadi, menyatakan bahawa beliau ditahan polis atas pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989.

Menerusi paparan twitter itu juga, Rafizi menjelaskan rumahnya diserbu kira-kira jam 7 pagi tadi sebelum dibawa ke balai polis Hulu Klang.

Sekitar jam 8 pagi, Rafizi menyatakan beliau sedang dibawa polis ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan proses pertuduhan ke atasnya dipercepat, kepada 9 pagi.

Turut ditahan Johari Muhamad merupakan bekas kerani Public Bank yang dikatakan salah seorang pemberi maklumat mengenai pembelian hartanah mewah keluarga Shahrizat di KL Eco City, Bangsar.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: