11 September 2012

30 pondan lari digempur

24 Syawal 1433H. [MOD] -

CEKUP...sebahagian pondan yang menyertai pertandingan ratu cantik ditahan, kelmarin.

SUNGAI PETANI: Lebih 30 pondan bergaya dalam pertandingan ratu cantik mak nyah di sebuah hotel berhampiran Taman Ria Jaya, di sini, bertempiaran lari selepas sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) menyerbu tempat berkenaan, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam, sepasukan anggota PADKM menerima maklumat orang awam yang memaklumkan satu pertandingan ratu cantik mak nyah berlangsung di dewan hotel berkenaan.

Pegawai Penguat Kuasa PADKM, Zaiferi Zainul Abidin, berkata serbuan membabitkan seramai 21 anggota terdiri anggota Cawangan Penyiasatan Khas (CPK), penguat kuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan Jabatan Imigresen.

Katanya, kehadiran pihak berkuasa dikesan pengawal keselamatan yang berjaga di hadapan pintu dewan berkenaan yang segera bertindak memberitahu pihak penganjur menyebabkan semua pondan terbabit cuba meloloskan diri melalui pintu belakang.

“Ketika intipan dibuat semua pondan terbabit sedang bergaya bagi merebut beberapa kategori yang dipertandingkan iaitu Miss Favourite, Best Hair, Best National Costume, Body Beautiful, Miss Cute, Best Make Up dan Catwalk. “Dalam keadaan kelam-kabut itu hampir 30 pondan yang cuba meloloskan diri sanggup berkaki ayam serta terjun dari tangga bagi mengelak ditahan.

“Semua pondan itu lari ke kawasan padang golf dan tasik berhampiran hotel itu dan terus menghilangkan diri di dalam gelap, namun kami menahan lapan mak nyah terbabit dalam acara berkenaan selepas gagal melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati dewan terbabit disewa penganjur terbabit bagi mengadakan Pertandingan Ratu Antarabangsa 2012, di mana pesertanya membabitkan mak nyah yang datang dari negeri ini dan negeri lain.

“Semua mak nyah yang ditahan itu dibawa ke pejabat PADKM dan diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan seorang penjamin.

“Mereka akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1948 iaitu lelaki berpakaian perempuan dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

METRO/-

Tiada ulasan: