11 September 2012

Zambry dicabar bentang audit YBUDR di sidang Dun

24 Syawal 1433H. [MOD] -

IPOH: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mendesak agar Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membentangkan laporan audit kewangan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) akan datang.

Koordinator Jawatankuasa Isu dan Strategik PAS Perak, Salman Saleh berkata, pembentangan itu penting bagi membuktikan ketelusan pentadbiran menteri besar itu selama ini.

"Kami merasakan perkara ini penting kerana ianya melibatkan wang rakyat yang besar disalurkan setiap tahun kepada YBUDR," katanya.

Menurut Salman, pihaknya menerima banyak rungutan daripada rakyat yang menerima bantuan dari yayasan ini yang tidak menepati seperti yang sepatutnya.

Sebagai contoh katanya, skim baikpulih rumah yang ibarat ‘melepaskan batuk ditanggga’ sahaja di mana rumah yang dibaikpulih masih tidak sempurna walaupun peruntukan sudah habis digunakan.

"Malah polisi peruntukan baikpulih rumah yang sepatutnya tidak melebihi RM15,000 sebuah rumah tetapi kami menerima laporan ada yang mendapat dua kali peruntukan yang mencecah pembinaan rumah baru iaitu sebanyak RM30,000 sebuah rumah. Adakah ini benar," soalnya.

Justeru, pihaknya akan terus mendesak agar menteri besar membuktikan ketelusannya sehingga kewangan YBUDR diaudit dan dinilai setiap rakyat dalam pelbagai kaedah.

Selain mendesak ianya dibentang pada persidangan Dun akan datang, mereka juga mencadangkan ianya dipaparkan di dalam laman web rasmi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIAMPk) dan dibukukan bagi penilaian rakyat terhadap kewangan yayasan itu.

"Kami sekali lagi mencabar ketelusan dan integriti kepimpinan Datuk Seri Zambry dalam keikhlasannya membantu rakyat selama ini," katanya.

harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam sdra...