24 September 2012

51 pemilik kenderaan guna cermin gelap disaman

8 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

JITRA — Penggunaan cermin gelap antara kesalahan paling banyak dilakukan pemilik kenderaan yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dalam Ops Padu 2012 di Plaza Tol Jitra di sini, malam tadi.

Operasi bermula pukul 8 malam dan berakhir pukul 12 tengah malam tadi mencatatkan 77 saman dikeluarkan dan 51 daripadanya terhadap pemilik kereta kerana menggunakan cermin gelap yang tidak mematuhi peraturan manakala sembilan kereta dan sebuah motosikal disita.

Pengarah JPJ Kedah, Ahmad Musadad Sulaiman berkata, penggunaan cermin gelap oleh pemilik kereta menjadi ikutan ramai sekarang.

"Mereka yang ingin memasang cermin gelap walaupun atas faktor keselamatan atau masalah kesihatan harus merujuk kepada JPJ terlebih dahulu," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Mengenai operasi malam tadi, beliau berkata antara kesalahan lain yang dikesan ialah tidak memiliki lesen memandu (16 saman) dan cukai jalan tamat tempoh (12 kes).— BERNAMA

Tiada ulasan: