19 September 2012

Bagaimana Artis Melakar Masa Hadapan?

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Saya ingin membuat respon daripada kenyataan Presiden Seniman, Saudara Zed yang ghairah mengutuk beberapa artis yang berada dalam PR. Begitu juga keluhan yang disuarakan oleh Pengarah Filem, Hafsham Othman semasa dalam Dialog Industri Kandungan Kreatif 2012 yang menyebut bahawa golongan artis perlu bersatu bagi menghadapi buli oleh gergasi industri hiburan tanahair. Kedua-dua kenyataan itu sebenarnya manifestasi golongan karyawan dalam menghadapi dunia di luar layar dan pentas. Mungkin artis dan para karyawan berjaya di atas pentas dan layar tetapi gagal bila berpijak di bumi nyata.

Yang paling ironinya, para artis dan karyawan salah menyalah antara pihak-pihak yang berbeza fikrah. Kita tidak boleh menghentikan perbezaan kerana itulah warna dalam kehidupan. Yang paling utama bagaimana untuk mengurus perbezaan dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan berkarya. Saranan untuk para artis bersatu adalah slogan politik. Politik adalah satu cabang seni yang cukup berbeza dengan seni lakonan ataupun drama. Oleh itu, berhati-hatilah para artis dan karyawan jika berbicara soal politik. Ini kerana politik negara kita masih dalam proses menuju kematangan (baca; tidak matang).

Siapakah yang dimaksudkan oleh Hafsham sebagai gergasi industri hiburan tanahair yang sering membuli para karyawan dan artis? Ia mungkin stesyen media perdana dan juga syarikat rakaman, penerbit dan pemasaran karya kreatif itu sendiri. Para karyawan dan artis sebenarnya adalah sama seperti penonton dan masyarakat umum. Produk kreatif yang ditawarkan dalam pasaran dinikmati oleh masyarakat. Dan golongan karyawan dan artis itu sendiri hidup dalam masyarakat.

Bagaimana bentuk produk kreatif yang tersedia ada di pasaran pada hari ini? Adakah ia merupakan satu hiburan yang memberi santapan mata, nafsu atau akal? Secara umumnya, industri hiburan kita meriah tetapi rohnya telah ‘mati’ dan kehilangan fungsi sebenarnya. Hiburan kini menjadi alat propaganda dan doktrin politik kapitalis dan pemikiran yang sempit. Pemikiran masyarakat dipaksa menelan dogma-dogma palsu bikinan penguasa dan pemain gergasi industri. Ayu Utami dalam novelnya ‘Bilangan Fu’ menyebut,orang pintar sangat terseksa bila menonton televisyen. Setiap segmen, adalah adegan yang memperbodohkan penonton. Hari ini, penguna industri hiburan mengalami penderaan pemikiran yang sangat teruk. Lebih-lebih menjelang pilihanraya yang bakal meletup.

Samada para karyawan ataupun artis dan juga masyarakat pengguna, mereka sebenarnya terperangkap dalam kerangka kapitalis yang berwajahkan populariti, glamour, perundangan dan dasar-dasar kerajaan. Bahkan ada yang lebih menyakitkan ialah kapitalis berwajah agama. Filem-filem atau produk kreatif berbentuk agama yang dipersembahkan dalam bentuk ‘dakwah murahan’ juga termasuk dalam mata rantaian kapitalis yang lebih kreatif mencipta keuntungan.

Ada ruang-ruang tertentu, para karyawan dan artis perlu memikul rasa tangungjawab yang lebih besar. Mereka bukan sekadar pemain tambahan yang boleh digunakan sewenang-wenangnya. Kerana itu, para karyawan dan artis mesti memiliki prinsip hidup dalam diri mereka sendiri. Dari proses pemilihan skrip atau lirik, kaedah lakonan dan persembahan, pemasaran dan sebagainya perlu diambil berat oleh mereka. Jangan kerana memiliki bakat atau kecantikan yang kononnya dikurniakan oleh Allah s.w.t., maka produk kreatif para karyawan dan artis menyalahi syariat, sarat dengan maksiat dan menyerang kepercayaannya sendiri.

Apabila mendapat tempat pada mana-mana majlis anugerah, ucapan syukur dan Alhamdulillah tidak pernah lekang daripada bibir. Wal hal, kemenangan itu sebenarnya satu kemalangan ngeri dalam hidupnya. Kita selalu mendengar, para pelakon yang tertentu berkata, mereka hanya berlakon mengikut skrip yang ada. Penyanyi hanya menyanyikan lirik yang sedia ada. Lukisan atau ukiran yang dicipta hanya untuk memenuhi permintaan pasaran. Menang terlalu mudah sesetengah para karyawan dan artis melakukan helah bela diri untuk mengesahkan kreativitinya di tengah masyarakat.

Apabila ‘saham’ para karyawan dan artis merundum, mereka akan ditinggalkan sebatang kara. Miskin, merempat dalam industri dan juga kehidupan yang sebenar. Tragedi yang berlaku pada seniman agung P. Ramlee seharusnya menjadi iktibar bagaimana hal yang sama tidak berulang. Kehilangan P. Ramlee begitu dirasai selepas ketiadaannya. Sebaliknya semasa beliau hidup berkarya, ramai para kapitalis yang menghisap darah atas kreativiti seniman agung itu. Tanpa menafikan ada beberapa kelemahan sendiri yang wujud dalam diri seniman agung mengurus kerjayanya sebagai seniman.

Masyarakat pada keadaan tertentu juga harus dipersalahkan kerana terus meraikan kesongsangan dalam hidup. Maksiat dipuja, usaha kebaikan tidak diberikan galakan. Tanpa disedari membentuk pemikiran hedonism murahan dalam masyarakat. Untuk menyatukan persatuan-persatuan seniman ataupun para pendokong karyawan samalah sukarnya menyatukan parti politik yang berbeza kepentingan. Masing-masing ada kekuatan dan cuba melindungi kelemahan yang ada. Itu normal. Tetapi yang lebih utama, bagaimana persatuan seniman dan karyawan membawa prinsip kreativiti yang memberikan kebajikan yang menyeluruh pada kehidupan para pengiatnya. Mendapat manfaat di dunia, selamat di akhirat.

Cubalah elakkan daripada mengulangi retorik ahli politik atau para pendakwah simplistik seperti dengan kata-kata; ‘Balik ke pangkal jalan’, ‘Islam jalan penyelesaian’. Retorik-retorik ini memerlukan langkah-langkah yang lebih realistik. Proses penterjemahan Islam sebagai agama yang memberi kerahmatan seluruh alam seharusnya dicernakan dalam pelbagai bentuk. Inilah cabaran yang perlu dipikul oleh semua pihak.

Minggu lepas, Dinsman menghantar sms bertanya bagaimana jika lakonan yang melibatkan lelaki dan perempuan remaja diadakan di dalam ruang masjid? Drama itu bernafaskan skrip yang Islamik. Jawapan yang diberikan oleh Dr. Mujahid Yusu melegakan kami. Dalam berkarya kita perlu menjaga adab-adab, termasuk adab dalam masjid. Lakonan boleh dilakukan di ruang lain seperti serambi, bilik khas ataupun perkarangan masjid. Itu lebih baik untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar jika dilakukan dalam ruang solat.

Setidak-tidaknya Dinsman dan rakan-rakannya berjaya memecah sedikit tembok stigma masyarakat tentang peranan masjid. Berpuluh-puluh kali para penceramah menegaskan peranan masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat. Tapi bagaimana? Masjid terus menjadi tempat ritual umat Islam mendapat ‘ketenangan’. Sedang dalam masa yang sama, masyarakat di luar masjid sedang menderita sakit yang cukup kronik. Pendekatan-pendekatan ini perlu dilakar bersama antara para pendakwah, pemimpin masyarakat (termasuk JK Masjid), para karyawan dan seluruh masyarakat. Untuk masa hadapan yang lebih bermakna.

Dr. Muhaimin Sulam

Timb. Pengerusi Lujnah Seni dan Budaya PAS Pusat merangkap AJK PAS Pusat.

Tiada ulasan: