19 September 2012

Semakin bengkok

3 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tiga pelajar berusia antara 13 dan 16 tahun kini terpaksa melupakan hasrat menduduki peperiksaan akhir tahun apabila penyakit ‘Adolesence Idiophatic Scoliosis’ atau tulang belakang ‘S’ yang dihidapi mereka semakin membengkok pada tahap membimbangkan.

Ketiga-tiga mereka yang ditemui di Balai Berita, di sini, semalam ternyata bersedih meninggalkan bangku sekolah tiga bulan selepas bakal dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Oktober ini bagi tujuan pembedahan.

Biarpun terpaksa melupakan alam persekolahan seketika, namun semangat mereka kembali pulih dan semalam mereka hadir menerima sumbangan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) berjumlah RM61,500.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ambrose, Air Tawar, Perak, Muhamad Asyraf Adan, 16, berkata penyakit dihidapi disedari bapanya dua tahun lalu apabila bahagian tulang belakangnya membengkak secara tiba-tiba.

“Pada mulanya saya sangka ia hanya bengkak biasa dan tidak pernah ambil peduli. Sejurus dibawa bapa menjalani imbasan di Hospital Seri Manjung, tahun lalu, doktor memaklumkan tulang itu membengkok dengan ukuran 23 darjah dan memerlukan pembedahan,” katanya.

Menurut Muhamad Asyraf, biarpun diuji sebegitu namun rakan sekolahnya tidak pernah memberi ejekan dan banyak memberi sokongan.

“Penyakit dihidapi menyebabkan saluran tulang belakang sempit selain gangguan pada pangkal otak,” katanya.

Pelajar SMK Cheras Perdana, Lee Tze Teng, 13, berkata akibat masalah terbabit, pergerakannya terbatas dan sukar melakukan kerja berat.

“Saya bimbang kerana tulang ini sudah membengkok sehingga 50 darjah dan jika tidak dibedah ia akan memudaratkan,” katanya.

Pelajar SMK Kahang Timur, Kluang, Johor, Nur Aliah Shafikah Md Norisam, 13, berkata akibat penyakit itu, dia yang sebelum ini aktif bersukan terpaksa berhenti terbabit aktiviti itu.

Orang ramai yang bersimpati terhadap nasib mereka boleh menghulurkan sumbangan di atas nama pesakit dan dikirimkan kepada Bahagian Kewangan dan Unit Kebajikan NSTP, Jalan Riong, di sini.

Tiada ulasan: