03 Oktober 2012

38 maut feri karam di Hong Kong

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -



HONG KONG - Seramai 38 orang terkorban dan lebih 100 yang lain cedera apabila sebuah feri persiaran yang membawa mereka tenggelam selepas berlanggar dengan sebuah feri lain, kata beberapa pegawai semalam.

Lebih 120 penumpang dan kru dikatakan berada di atas feri Lamma IV milik syarikat Hong Kong Electric untuk menyaksikan pertunjukan bunga api di kawasan Victoria Harbour sempena cuti Hari Kebangsaan.
Kejadian berlaku dekat Pulau Lamma di sini pada petang Isnin lalu.

Sejumlah penumpang tercampak ke dalam laut yang berombak sebelum kapal malang berkenaan karam dalam tempoh beberapa minit sahaja.

"Seramai 28 mangsa disahkan maut di tempat kejadian, manakala lapan yang lain disahkan mati semasa tiba di hospital.

"Usaha menyelamat akan diteruskan kerana Jabatan Perkhidmatan Bomba tidak boleh mengesahkan sama ada masih terdapat mangsa di dalam kapal atau sudah hilang," kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan.
Semua mangsa yang mati dan cedera dipercayai penumpang atau kru kapal syarikat Hong Kong Electric. 

Menurut beberapa pegawai syarikat itu, kapal berkenaan dipenuhi kakitangan dan keluarga mereka.
Sementara itu, sebuah lagi feri yang terlibat dalam pelanggaran tersebut telah berlabuh di salah sebuah jeti di Pulau Lamma semalam.

Terdapat kesan lubang besar di bahagian kiri feri berkenaan.

Feri itu dipercayai belayar dari Hong Kong ke Pulau Lamma apabila pelanggaran berlaku berdekatan destinasinya, sekali gus sempat menurunkan penumpang sebelum ia dipenuhi air.

Pegawai Kanan Jabatan Marin, Chung Siu-man menyatakan masih terlalu awal untuk menentukan kapal mana yang bersalah.

Dalam perkembangan berkaitan, tujuh kru daripada kedua-dua feri tersebut ditangkap kerana mendatangkan bahaya kepada nyawa orang lain di lautan. 

Komisioner polis Hong Kong, Tsang Wai-hung memberitahu, lebih banyak tangkapan akan dibuat berhubung tragedi berkenaan.

Beribu-ribu orang berkunjung ke Pulau Lamma sempena cuti umum hari kebangsaan China. - Agensi


Tiada ulasan: