31 Oktober 2012

Isu Datuk Bandar PJ: Ahli majlis mahu saman KSN

15 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


PETALING JAYA: Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bercadang menyaman Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa berikutan arahan pertukaran serta merta Datuk Bandar, Datuk Mohamad Roslan Sakiman baru-baru ini.

Salah seorang wakil mereka, Derek Fernandez, berkata pihaknya akan merujuk kepada Unit Perundangan MBPJ bagi mendapatkan khidmat guaman profesional untuk memfailkan saman tersebut.

“Kita akan pergi ke mahkamah untuk mendapatkan kepastian berhubung perkara ini. Segala prosedur kita serahkan kepada pihak peguam,” katanya dipetik Selangorku.

Mohamad Roslan sebelum ini menerima arahan pertukaran daripada JPA sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkuatkuasa 1 Oktober lalu.

Bagaimanapun, arahan itu ditarik semula dan mengekalkan Mohamad Roslan sebagai Datuk Bandar MBPJ kerana jawatan berkenaan adalah statutori yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan.

Kerajaan negeri juga sebelum ini melahirkan rasa terkejut dengan arah itu kerana exco dan Menteri Besar sendiri tidak dimaklumkan berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Derek Fernandez, pertukaran serta-merta yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu adalah tidak sah, dan boleh menimbulkan tanggapan buruk terhadap Mohamad Roslan.

Beliau berkata, arahan itu juga bertentangan dengan Seksyen 10, Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana membelakangi Kerajaan Negeri dalam membuat keputusan.

“Datuk Bandar diberi arahan pertukaran dalam tempoh 24 jam melalui surat daripada JPA bertarikh 27 September lepas tanpa mengemukakan sebarang sebab dan alasan. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa beliau (Mohamad Roslan) membuat satu kesilapan besar atau tidak membuat kerja,” katanya dalam satu Mesyuarat Khas di Ibu Pejabat MBPJ di sini.

HARAKAH/-

Tiada ulasan: